Malaysia perlu beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan untuk capai negara maju

Share

Malaysia yang telah mencapai usia 63 tahun perlu meneruskan transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan bagi mencapai statusnya sebagai sebuah negara maju.

Ketua Pegawai Eksekutif, Asia Pacific Investment Bank (APIB), Chris Wang berkata, pembangunan ekonomi Malaysia adalah stabil berbanding negara Asia Tenggara lain, tetapi ia menghadapi beberapa kekangan bagi membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana dan menjadi sebuah negara maju.

Sebagai contoh, Malaysia tidak mempunyai pangkalan pengguna yang besar seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun untuk membantu memacu menjadi sebuah negara maju.


“Terdapat hanya satu pilihan untuk negara kecil seperti Malaysia bagi mencapai matlamat sedemikian, iaitu dengan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan yang maju dan bukannya hanya bergantung kepada sumber semulajadi yang unik dan berharga sahaja.

“Pendidikan, penyelidikan dan pembangunan adalah sektor utama ekonomi berasaskan pengetahuan. Bakat dan sumber manusia adalah aset yang paling penting.” tambahnya.

Wang berkata, pemacu utama di sebalik ekonomi berasaskan pengetahuan merupakan pasaran kewangan terbuka yang dapat membantu negara menarik bakat serta menggalakkan pembangunan dan inovasi.


“Ekonomi berasaskan pengetahuan Malaysia mesti bergantung kepada pasaran kewangan yang terbuka bagi mencapai potensi sepenuhnya. Hal ini boleh dilakukan melalui pembangunan berterusan dan pembukaan kewangan Islam di Malaysia.

“Ia adalah penting bagi Malaysia untuk membuka pasaran kewangan Islam yang seterusnya bakal menarik bakat dan menggalakkan kemajuan teknologi. Ia akan memberikan manfaat kepada industri perkhidmatan dan pembuatan negara,” katanya.

Wang memuji perancangan strategik kerajaan Malaysia untuk ekonomi negara dan menyatakan bahawa APIB mahu membantu untuk mengembangkan lagi industri kewangan Islam di Malaysia.


“Objektif perancangan ekonomi Malaysia adalah jelas. Namun, ia boleh dilaraskan terutamanya dari segi kewangan Islam dan keterbukaan pasaran modal. Sebagai contoh, Malaysia harus memberikan sokongan penuh kepada entiti Islam negara asing termasuk syarikat kewangan untuk memasuki pasaran modal domestik Malaysia.

”Kami percaya bahawa ini akan membolehkan lebih banyak perniagaan berteknologi tinggi dan syarikat inovatif untuk menubuhkan pangkalan mereka di sini,” katanya.

Tambah beliau, banyak syarikat asing dari China serta negara lain sedang mencari pelaburan rentas sempadan dan peluang untuk memasuki pasaran Islam dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik syarikat-syarikat ini bagi membawa masuk pengetahuan sains dan teknologi moden serta modal mereka ke dalam negara.

“Sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 yang sedang rancak diaplikasikan oleh semua negara serta syarikat-syarikat di seluruh dunia, kewujudan perusahaan berteknologi tinggi akan menyokong proses transformasi ini,” tambahnya.

Sementara itu, Wang berkata, dunia akan menyaksikan perubahan drastik dalam struktur antarabangsa pada dekad ketiga abad ke-21. Kedudukan Malaysia yang dominan dalam kalangan negara ASEAN dan bagaimana ia terus memacu kedudukannya sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa merupakan kunci kepada kemajuan negara.

“Kita berada di titik perubahan dalam pembangunan industri kewangan Islam dan apa yang diperlukan oleh penggiat industri sekarang adalah keberanian menyuarakan saranan serta permintaan bagi mengembangkan industri Islam. Apabila ini berlaku, ia akan menarik perhatian seluruh dunia.

“APIB sanggup bekerjasama dengan kerajaan Malaysia, institusi kewangan, syarikat tempatan dan antarabangsa bagi membantu Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik,” kata Wang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply