Kritik Muhyiddin tindakan salah, Annuar bidas Nur Jazlan

Setiausaha Agung Barisan Naisonal (BN), Annuar Musa membidas kritikan Timbalan Pengerusi BN Johor, Nur Jazlan Mohamed terhadap Muhyiddin Yassin yang meminta perdana menteri berhenti “berdagang” bagi mendapatkan sokongan supaya Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa.

Beliau berkata, Nur Jazlan tidak perlu dengan mudah membuat kenyataan seperti itu.

“Sebagai parti politik, PPBM ada rancangan mereka, tetapi tidak boleh membuat kenyataan perdana menteri cuba melakukan sesuatu yang negatif.

“Nasihat saya, saya mungkin tikam kawan dalam parti sendiri. (tetapi), sebagai setiausaha agung saya nasihatkan kita semua mesti amalkan politik yang lebih murni.



“Saya harap semua orang jangan keluarkan kenyataan negatif, supaya wujudkan keadaan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perarakan pasukan berkuda perkhidmatan awam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan Nur Jazlan menasihatkan Muhyiddin supaya berhenti ‘berdagang’ bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebelum pembentangan belanjawan kerajaan Oktober ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini Muhyiddin “sibuk membuat dagangan” supaya parti dipimpin beliau dan PN dapat terus mengekalkan kuasa sehingga tamat tempoh penggal 2 tahun lagi.

Nur Jazlan berkata, Muhyiddin perlu menerima kenyataan bahawa PPBM dan PN berada dalam keadaan yang amat rapuh.



Dalam pada itu Annuar berkata, kritikan Nur Jazlan itu tidak tepat kerana baru-baru ini Muhyiddin; Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berbincang mengenai kerjasama 3 parti itu jika pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

Dalam perkembangan lain, Annuar menasihatkan media supaya mendapatkan ulasan mengenai dasar parti daripada pimpinan atasan bukannya pimpinan bawah.

“Media harus ambil kenyataan dan lihat jawatan orang itu. Kalau ambil komen, ahli biasa tak terlibat dengan perbincangan dengan pimpinan di atas, ia akan beri gambaran kurang tepat.

“Kalau media nak tanya mengenai dasar, saya harap dapat rujuk kepada penjawat yang sesuai,” katanya.



Semalam Muhyiddin berada di Sabah untuk bertemu dengan pemimpin PPBM negeri berhubung pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (JPM), selain pertemuan dengan pemimpin PPBM Sabah, beliau juga bertemu penjawat awam dan pemimpin masyarakat di negeri itu. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker