Pestabola Merdeka wajar dikembalikan ?

Share

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 30 Ogos  — Pestabola Merdeka yang diilhamkan Perdana Menteri pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersempena kemerdekaan tahun 1957 adalah pertandingan bola sepak terulung di rantau Asia suatu ketika dahulu dan juga yang tertua di Asia.

Kemasyhuran Pestabola Merdeka menyaksikan ia menjadi pencetus kepada beberapa kejohanan bola sepak lain di Asia antaranya Piala Raja Thai di Thailand yang bermula pada 1968, Piala Presiden (Korea Selatan) pada 1971, Piala Kirin (Jepun) pada 1978 dan Piala Kemerdekaan di Indonesia pada 1985.


Pestabola Merdeka memiliki aura tersendiri apabila ia bukan sahaja menarik minat negara serantau, malah ‘menggoda’ pasukan ternama dari benua Eropah, Afrika dan Amerika Selatan untuk turut membuat penampilan dalam kejohanan paling elit di Asia itu,

Selain pasukan gergasi benua Asia Tenggara,  ia turut menarik minat pasukan handalan dari benua lain.

Korea Selatan, Iraq, Jepun, Uzbekistan, New Zealand, Maghribi, Myanmar, Ghana, Algeria, India, Thailand, Indonesia, Czechoslovakia, Hamburger SV, Sao Paulo FC dan Buenos Aires FC adalah antara 32 pasukan yang pernah mewarnai saingan kejohanan itu.


Bercakap kepada Bernama, bekas penjaga gol skuad Olimpik Munich 1972 negara Wong Kam Fook berkata Pestabola Merdeka sentiasa dinantikan oleh skuad kebangsaan diwakili hampir kesemua bangsa daripada pelbagai latar belakang yang teruja untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Ini adalah satu-satunya kejohanan di Asia dan kami amat teruja untuk mewakili negara tercinta. Kejohanan ini merupakan sat-satunya peluang untuk kami memperagakan kehebatan dan beraksi di tahap terbaik.

“Tiada yang istimewa diterima pemain ketika itu melainkan rasa bangga menyarung jersi kebangsaan. Memenangi Pestabola Merdeka ibarat pencapaian tertinggi buat pemain negara,” kata bekas pemain negara itu yang berhijrah ke Hong Kong pada 1972 untuk beraksi secara profesional.


Menurut bekas penyerang handalan negara era 70-an  yang diberi jolokan `Harimau Malaysia’ Shaharuddin Abdullah, kelincahan dan semangat ditonjolkan pemain di atas padang turut dipengaruhi sorakan luar biasa daripada penyokong yang membanjiri Stadium Merdeka.

“Kami bermain kerana negara. Kami tak bermain sebab duit. Semua pemain waktu itu ada satu semangat yang luar biasa seolah-olah berjuang di medan perang mempertahankan negara. Penyokong turut memainkan peranan dengan tidak putus memberikan sokongan sepanjang perlawanan,” katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka pada 1976 dengan kemenangan 2-0 ke atas Jepun yang pada ketika itu memiliki reputasi pasukan terhebat Asia adalah kenangan paling manis sepanjang penampilannya dalam kejohanan itu.

Tidak dinafikan kehadiran beberapa pemain yang memiliki nama tersendiri di pentas Pestabola Merdeka menjadi daya tarikan utama peminat tanah air yang enggan melepaskan peluang menyaksikan pemain kegemaran selain keghairahan memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Pestabola Merdeka juga pentas melahirkan barisan pemain berkaliber negara era 60-an, 70-an dan 80-an seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, mendiang R. Arumugam, Allahyarham Datuk Abdul Ghani Minhat dan lain-lain.

Namun, kemeriahan kejohanan tersebut yang menjadi acara tahunan sehingga 1988 mula pudar ketika meniti era 80-an selepas negara-negara bertanding mula menghantar skuad pelapis termasuk Korea Selatan yang hanya menurunkan skuad B dibarisi pemain muda bermula 1979.

Kam Fook beranggapan tindakan segelintir pasukan itu jelas memberi impak negatif kepada tahap kompetitif Pestabola Merdeka sekali gus menjadi titik permulaan kemerosotan sambutan terhadap kejohanan tersebut sehingga menyaksikan ia diberhentikan pada 2013 selepas 56 tahun penganjuran.

“Sebelum tahun 1970 di mana tiada satu pun pertandingan bola sepak di Asia melainkan Pestabola Merdeka tetapi segalanya berubah apabila memasuki era 80-an apabila sesetengah pasukan mula hantar skuad simpanan malah ada yang langsung tidak mahu sertai,” katanya.

“Negara-negara itu sudah mula menganjurkan kejohanan dan mewujudkan liga mereka sendiri. Disebabkan perubahan itu, Pestabola Merdeka semakin tidak popular,” katanya.

Sepanjang penganjuran Pestabola Merdeka, Malaysia muncul juara terbanyak iaitu 12 kali dengan dua daripadanya disumbangkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara selepas format pertandingan diubah pada 2007 yang menyaksikan penyertaan hanya melibatkan skuad B-23 setiap negara.

Persoalannya, selepas lapan tahun menyepi dan dengan jadual pertandingan tempatan dan antarabangsa semakin padat, adakah Pestabola Merdeka yang tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan mendapat sambutan sekiranya ia dianjurkan semula?.

Adakah ia masih relevan ke atas perkembangan prestasi skuad kebangsaan selain mampukah ia mencapai kembali kegemilangannya?.

Bagi Kam Fook, penganjuran semula adalah satu perkara yang tidak mustahil tetapi ia perlu diteliti dan mengambil kira implikasi yang mampu diberikan kepada skuad kebangsaan.

— BERNAMA

Leave a Reply