‘Kalau harapkan DAP, dah lama saya jatuh’ – MB Negeri Sembilan

Share

Ini bermakna DAP Negeri Sembilan tak boleh diharap!

WAWANCARA Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kelihatan tenang-tenang sahaja buat masa ini. Walaupun lima negeri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya di Johor, Melaka, Kedah, Perak dan Sabah telah tumbang atau dibubar selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Persekutuan pada Mac lalu, kerusi Menteri Besar yang disandang beliau belum tergugat.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selama tiga penggal itu berpendapat kedudukan beliau kini lebih selesa selepas tersingkirnya kumpulan penyokong tegar bekas Timbalan Presiden PKR (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam wawancara bersama Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zuki Pileh dan Ketua Meja Pemerolehan Berita Sinar Harian, Ahmad Syahrul Derauh, Aminuddin juga menjawab dakwaan beliau terlalu berpaut pada ADUN DAP untuk mengekalkan kuasa selain menghuraikan rancangan beliau untuk memakmurkan Negeri Sembilan.


SINAR AHAD: Apakah perasaan Datuk Seri selepas 27 bulan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Apakah cabaran terbesar yang Datuk Seri hadapi?

AMINUDDIN: Tempoh 27 bulan ini penuh dengan cabaran khususnya apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang di peringkat Pusat serta kerajaan di beberapa buah negeri berubah menjadi kerajaan Perikatan Nasional. Ini merupakan satu cabaran besar kepada saya untuk memastikan kerajaan negeri ini kekal sebagai kerajaan negeri Pakatan Harapan. Alhamdulillah, setakat hari ini kita masih dapat mempertahankan kerajaan sedia ada malah kita telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun 2019 dan berjaya meningkatkan hasil negeri.

Antara keputusan penting pentadbiran Datuk Seri ialah mengubah status pemilikan tanah kediaman daripada pajakan kepada kekal. Apakah itu pencapaian terbaik Datuk Seri setakat ini?


Negeri Sembilan ialah negeri pertama di Malaysia yang mengambil langkah ini. Kita sedia maklum, sebahagian besar masyarakat Melayu khususnya di bandar tinggal di rumah berstatus pajakan manakala masyarakat bukan Melayu banyak membeli rumah freehold (pegangan bebas).

Maka, polisi ini sebahagian besarnya menguntungkan masyarakat Melayu di samping masyarakat bukan Melayu yang masih duduk di atas tanah pajakan.

Jumlah penduduk Negeri Sembilan sekitar 1.2 juta orang manakala jumlah kediaman sekitar 200,000 hingga 300,000 unit. Jumlah yang terlibat dengan pertukaran status ini masih dikemas kini tetapi bilangan mereka besar.


Baru-baru ini kerajaan menaikkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208, menyebabkan jumlah isi rumah dikategorikan miskin meningkat kepada 400,000 di seluruh negara. Bagaimanakah situasinya di Negeri Sembilan?

Apabila PGK dinaikkan kepada RM2,208, ramai penduduk Negeri Sembilan tergolong dalam golongan miskin termasuk pekerja kilang dan penjawat awam yang berkhidmat di bahagian perkeranian sebagai PAR (Pembantu Am Rendah). Mereka terdiri daripada hampir 40 peratus penduduk di Negeri Sembilan, jadi jumlah mereka yang terlibat lebih kurang 40,000 isi rumah. Kita telah adakan satu perbincangan dan giat mengumpulkan data-data penting untuk dimasukkan dalam Bajet Negeri Sembilan tahun 2021. Insya-Allah kita akan berusaha untuk memastikan golongan miskin tegar dapat keluar daripada paras kemiskinan.

Kita tahu pendapatan per kapita Negeri Sembilan menghampiri jumlah pendapatan per kapita negara iaitu RM44,682 namun realitinya masih ramai yang berada di bawah pendapatan per kapita tersebut. Contohnya, apabila harga sawit dan harga getah jatuh, hasil pendapatan rakyat juga menurun. Walaupun peneroka ada tanah seluas 10 ekar di tanah rancangan Felda tetapi harga sawit yang rendah menyebabkan mereka juga tergolong miskin.

Negeri Sembilan banyak menerima tempias daripada projek besar seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan terbaru projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang jajarannya turut melalui negeri ini. Jika projek itu tidak menjadi kenyataan, apakah Negeri Sembilan akan terlepas peluang pelaburan yang besar?

Kita berharap kerajaan Persekutuan tidak menukar jajaran ECRL kepada jajaran lama Gombak-Bentong kerana jajaran baharu Putrajaya-Nilai-Kuala Klawang amat besar impaknya khususnya untuk memajukan Kuala Klawang dan Jelebu yang terkenal dengan ekopelancongan dan sektor pertanian. Ia juga akan memberi impak yang cukup hebat kepada penduduk di Jempol dan Kuala Pilah.

Kita telah menulis surat kepada kerajaan Persekutuan supaya jajaran ECRL ini dikekalkan walaupun ada usaha yang kuat untuk menggunakan jajaran lama. Saya juga sempat bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mesyuarat Majlis Tindakan Negara baru-baru ini untuk menyuarakan hasrat tersebut dan beliau (Muhyiddin) kata akan kaji permintaan kami.

Sejauh manakah impak wabak Covid-19 terhadap ekonomi pelancongan di Negeri Sembilan?

Pada tempoh tiga bulan pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesannya amat besar terutama kepada sektor perhotelan di Port Dickson. Tetapi selepas sektor itu dibuka semula, sektor pelancongan kembali berkembang. Kini setiap hujung minggu dari hari Jumaat hingga Sabtu dan Ahad, hotel-hotel di Port Dickson penuh sehingga mencecah 90 peratus dan kadang-kadang mencapai 100 peratus tempahan. Alhamdulillah, kita telah mencapai lapan juta pelancong pada tahun 2019 tetapi sebilangan besar disumbangkan oleh pelancong domestik.

Oleh sebab itu apabila sektor pelancongan dibuka semula, kita lihat pelancong domestik ini terus datang ke Port Dickson. Kalau kita hanya mengharapkan pelancong luar negara, kita mungkin akan menghadapi masalah.

Kerajaan beberapa negeri di bawah PH telah tumbang. Apakah yang membuatkan Datuk Seri yakin kerajaan PH Negeri Sembilan tidak akan menerima nasib yang sama?

Saya lihat semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco bermula dengan perjuangan reformasi yang asal. Mereka bukan calon bidan terjun pada pilihan raya yang lepas. Mereka ini ada pengalaman yang lama sebagai pembangkang sama ada sebagai ADUN atau sebagai aktivis. Saya juga yakin dengan nilai dan perjuangan mereka. Mereka masih mempertahankan idealisme dan masih sayang dengan perjuangan ini. Jadi saya tidak nampak mereka hendak melompat parti. Saya rasa itu juga kekuatan kita.

Tetapi Datuk Seri dalam politik, banyak orang yang mengaku berjuang tapi mereka melompat parti juga. Apakah pandangan Datuk Seri?

Kita kena lihat apa matlamat mereka. Politik Negeri Sembilan bukan dalam kedudukan yang selesa. PH ada sebanyak 20 kerusi (11 DAP, 6 PKR, 3 Amanah) dan PN ada 16 kerusi (15 UMNO, 1 MIC). Ada lebih empat kerusi sahaja. Kalau tiga ADUN sahaja melompat, kerajaan negeri akan jatuh, bukan kedudukan yang selesa. Tapi kita yakin dapat pertahankan kerajaan ini sehingga akhir, dengan keizinan Allah. Lumrah kehidupan memang ada yang berubah, puncanya mungkin disebabkan tawaran, tapi saya yakin dengan sahabat-sahabat saya hari ini.

Mengapakah politik Negeri Sembilan kelihatan lebih stabil? Adakah ia ada kaitan dengan personaliti Datuk Seri sendiri yang menganggap semua orang sebagai teman-teman seperjuangan menyebabkan orang tidak berasa terancam dengan Datuk Seri?

Saya melihat peluang untuk sampaikan pandangan bagi bangunkan negeri adalah sama kepada semua. Saya juga memikirkan mereka adalah sebahagian daripada pentadbiran yang harus diberi ruang sama rata. Mungkin ada yang rasa kurang sikit, lebih sikit, itu biasa. Apa sahaja permasalahan harus kita selesaikan bersama. Personaliti itu saya tidak nampak, tapi agaknya saya lebih mesra dengan mereka.

Bagaimana Datuk Seri melihat pergolakan dalaman PKR yang membawa perpecahan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali? Apakah sebenarnya berlaku?

Kita lihat pergolakan itu bukan baru berlaku, bukan dengan Anwar sahaja, (Azmin) dengan Anwar itu baharu terjadi tetapi dengan rakan-rakan lain telah lama. Sebenarnya, kita dalam perjuangan ini ada matlamat sebagaimana bermulanya Keadilan (PKR) itu sendiri. Matlamat kita adalah untuk buat perubahan ke arah lebih baik demi rakyat dan bukannya kepentingan diri. Apabila perkara sebaliknya berlaku, berlakulah pergolakan. Ya, hari ini saya yakin Keadilan lebih kuat tanpa Azmin.

Walaupun ada yang kata Keadilan tidak lagi relevan, namun rakyat dan penyokong kita merasakan apabila golongan yang khianat perjuangan ini sudah keluar PKR dan menubuhkan kerajaan tebuk atap, PKR lebih kuat pada hari ini.

Berhubung kedudukan sebagai Menteri Besar, Datuk Seri didakwa tidak mendapat sokongan daripada PKR negeri sendiri. Ada yang kata kekuatan Datuk Seri kini hanya berpaut kepada sokongan 11 ADUN DAP. Apakah komen Datuk Seri?

Kalau saya harapkan kepada DAP, saya sudah jatuh. Mesti ada yang sudah lompat. Itu saya katakan tadi bahawa mereka ini ada prinsip. Memang tidak semua orang akan suka dengan kita, dalam mana-mana parti pun sama. Tetapi yang tidak suka itu sudah pun keluar, kita sudah pecat mereka. Yang keluar itu sebahagian kecil sahaja, dan kita sedia maklum golongan yang keluar itu mereka yang tidak suka pada saya dan mereka sudah keluar, alhamdulillah.

Sama juga dengan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), di peringkat pusat, yang tidak suka Anwar pun telah keluar, di Negeri Sembilan yang tidak suka saya pun sudah keluar, di negeri lain pun sama. Jadi golongan ini telah tiada dalam parti.

Untuk mengatakan saya dipengaruhi DAP itu hanyalah pandangan atau cerita politik, sedangkan kita mentadbir Negeri Sembilan dengan baik.

Kita jaga Islam, Melayu, kita jaga semuanya. Hari ini walaupun saya bersama DAP, saya jaga semua sekolah agama, saya jaga semua institusi Melayu. Saya ceritakan tentang tanah pajakan dan kekal tadi, itu semua sebahagian besarnya adalah untuk kepentingan orang Melayu.

Saya sendiri beri penjawat awam bantuan khas sebulan gaji yang sebelum ini mereka tidak pernah dapat, kebanyakan penjawat awam adalah orang Melayu, tetapi semua ini tidak pun dihalang oleh DAP walaupun dasar ini lebih menguntungkan masyarakat Melayu. Namun, kita tidak pula tinggalkan masyarakat Cina dan India. Itulah yang saya kata, anak Melayu itu anak kita, anak Cina itu anak kita, anak India itu anak kita, anak Kadazan itu pun anak kita.

Apakah PH ada harapan untuk mengekalkan kuasa di negeri ini?

Memang beberapa kawasan DUN kalau dicampurkan PH ada masalah kerana ada kawasan yang menang dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi. Tapi itu pada 2018. Jadi menjadi tanggungjawab ADUN, ketua kampung, ahli majlis, untuk menyantuni masyarakat dan memperlihatkan perbezaan pentadbiran di PH dan BN.

Mereka mempunyai tanggungjawab untuk terus bersama rakyat, menunjukkan mereka lebih komited dan menjaga negeri ini dengan baik. Pada PRU14, kita bertanding tanpa ada ketua kampung PH, kita tidak ada ahli majlis, tetapi hari ini kita ada jentera di peringkat kampung, jentera ahli majlis dan kerajaan negeri. Kalau diadakan PRU pada masa terdekat ini pun kita bersedia dan kita yakin peluang itu tidaklah seperti di atas kertas pada 2018.

Profail

Datuk Seri Aminuddin Harun

Jawatan sekarang: Menteri Besar Negeri Sembilan

Umur: 53 tahun

Asal: Kampung Pachitan, Port Dickson

Pendidikan: Sarjana Muda Perniagaan daripada UiTM

Isteri: Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof

Anak: 3 lelaki, 2 perempuan

Politik: ADUN Sikamat (PKR)(sejak 2008)

Pengalaman:

– Pegawai Penyiasat Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM)(1991-1995)

– Ketua Pengurusan Pengeluaran Golden Hope Furniture Sdn Bhd (1995-1996)

– Eksekutif Kanan MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd

ANEKDOT

Naik motosikal ziarah kampung ke kampung

Saya suka menunggang motosikal untuk menyantuni rakyat di rumah mereka sendiri. Saya tidak mahu orang cakap ‘MB tidak pernah sampai ke kampung saya’. Kalau boleh saya nak sampai ke seluruh kampung, estet dan kampung baharu di negeri ini. Naik motosikal lebih santai dan mudah untuk singgah. Bila saya datang melawat penduduk secara sederhana dengan motosikal, mereka rasa dihormati. Saya ziarah orang sakit dan susah. Ada juga saya terima aduan terus daripada rakyat.

Saya mahu lihat kehidupan sebenar mereka. Jika bawa mereka dalam perjumpaan di balai raya atau dewan, kita lihat mereka dalam keadaan selesa, tapi hakikatnya berbeza bila kita tengok situasi di rumah mereka malah kita dapat rasa sendiri keperitan rakyat.

Saya sudah turun ke seluruh kawasan DUN saya, Sikamat dan Lenggeng. Saya juga naik motosikal ke Kuala Pilah, Jempol, Jelebu. Sekarang saya merancang untuk lawat semua daerah dengan motosikal.

Terkejut tragedi Nora Anne berlaku di lokasi baru dilawati

Kisah tragis remaja Ireland berusia 15 tahun, Nora Anne Quoririn memeranjatkan saya. Dia ditemui mati kelaparan selepas 10 hari hilang di sebuah resort di Pantai dekat Seremban pada Ogos tahun lalu.

Yang saya terkilan kerana sekitar tempat itu agak baru saya lawati. Ia tempat yang mula-mula kita mahu buat pemutihan kawasan selepas Pakatan Harapan ambil alih kerajaan negeri. Ini kerana sebahagian daripada pengusaha-pengusaha pelancongan membuat pembangunan tanpa dapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Tempat di situ cukup indah dan eksklusif. Sebab itu kita mahu jadikannya lokasi pelancongan yang betul-betul selamat.

Saya pernah berjumpa keluarga Nora Anne sebelum ini dan berharap kes inkues kematiannya yang sedang berlangsung di Mahkamah Koroner Seremban dapat menjawab pelbagai persoalan.

Pelawa pelancong makan kari kepala kambing

Di Negeri Sembilan banyak makanan tradisi yang cukup unik dan menarik, dengan daging dan ikan salai serta sabaknya. Kita tahu tempat tertentu khususnya di Pedas, Rembau dan jalan Kuala Pilah menjadi tumpuan untuk dapatkan makanan ini. Kita juga ada apam Johol yang dibungkus dengan daun rambai selain pelbagai jenis rendang termasuk rendang maman. Negeri Sembilan juga terkenal dengan cendol songkok tinggi dan apam balik Istana Seri Menanti. Ini harus dicuba oleh orang luar yang datang ke negeri ini.

Sebahagian mereka juga mungkin tidak pernah makan kepala kambing yang diikat dengan usus yang saya rasa hanya boleh didapati di Negeri Sembilan. Mereka boleh buat tempahan makan di restoran Muzium Negeri Sembilan atau hotel terpilih. Sajian kari kepala kambing adalah makanan cukup istimewa yang biasanya dihidangkan kepada Ketua Adat Perpatih kita.

Leave a Reply