Kempen akhir BN fokus galak pemilih keluar mengundi esok

Share

TANJUNG MALIM – Hari terakhir kempen hari ini, Barisan Nasional (BN) menumpukan kepada usaha menggalakkan pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Calonnya, Mohd Zaidi Aziz berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan jentera ketiga-tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi tadi untuk memberikan keyakinan kepada mereka mengeluarkan seramai mungkin pengundi pada hari pengundian, esok.

“Sepertimana gerak kerja kita sebelum ini, fokus UMNO adalah kepada ahli-ahli UMNO, begitu juga Pas dan Bersatu, kita akan saling membantu mengeluarkan seramai mungkin ahli keluar mengundi, gerak kerja ini juga membabitkan mereka yang di atas pagar dan pengundi-pengundi luar.


“Harapan saya pengundi-pengundi yang keluar ini akan memberikan undi kepada BN dan membolehkan kita memperoleh kemenangan besar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 14 hari berkempen ini, banyak isu-isu besar membabitkan rakyat antaranya masalah bekalan elektrik, air bersih, banjir kilat dan terbaru Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim berjaya diselesaikan dan sebahagiannya dalam penelitian kerajaan.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung membantu gerak kerja kempen dan menambah keyakinan rakyat kepada kerajaan sedia ada.


“Saya bersyukur dengan kehadiran ramai pucuk pimpinan parti dan kerajaan yang hadir memberikan sokongan dan membantu menyelesaikan isu-isu dibangkitkan.

“Untuk jangka masa panjang, ia sangat memudahkan wakil rakyat apabila turun ke bawah bertemu masyarakat dan kita boleh memberi tumpuan kepada isu-isu lain pula untuk diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zaidi bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin hadir ke majlis perasmian Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehen Pondok Muallim di sini.


Leave a Reply