Memperkasa Muafakat Nasional

Share

MUAFAKAT Nasional (MN) yang dibentuk pada tahun 2019 kini menjadi tumpuan susulan pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu melalui gabungan beberapa parti politik termasuk UMNO dan Pas.

Perkembangan ini turut menjadikan MN semakin relevan sebagai platform penyatuan antara parti terbesar orang Melayu.

Persetujuan Bersatu untuk menyertai MN baru-baru ini juga perlu dilihat sebagai satu langkah strategik ke arah memperkasa penyatuan lebih jitu orang Melayu dan umat Islam dalam menawarkan kestabilan politik yang berkelangsungan kepada Malaysia.


Pun begitu, MN tidak boleh dilihat hanya sebagai satu platform gabungan politik biasa yang boleh dirungkai bila-bila masa. MN diikat, dicanai dan difahami idealismenya berdasarkan lima perkara teras piagamnya tentang Islam, orang Melayu, institusi Raja-Raja, Perlembagaan Persekutuan dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

MN tidak boleh wujud dan berdiri hanya sebagai satu gabungan politik sementara, ad hoc dan longgar tetapi perlu menjadi institusi syura (perundingan) politik yang lestari berteraskan persetujuan terpenting dalam merencana agenda dasar induk negara.

Umumnya, pembentukan MN melalui proses persefahaman yang panjang. Kewujudan MN tidak dilentur melalui satu atau dua pertemuan tetapi paling utama diasaskan atas dasar kesedaran UMNO dan Pas untuk bertaut di atas faktor perpaduan dan ukhuwah serta bukan disebabkan faktor kelangsungan kuasa dan survival kepartian. MN diwujudkan untuk menjadi pemegang amanah kepada kunci dan perkara asas kestabilan negara.


Peristiwa keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 adalah bukti bagaimana MN berperanan besar dalam menyelamat negara dan rakyat dari episod seminggu perebutan kuasa dalaman PH yang menyusah dan memualkan.

Gelombang yang dicipta MN bermula dari bawah dengan lebih 800 siri ceramah bersama yang diikuti kemudiannya dengan persefahaman dalam siri-siri pilihan raya kecil (PRK) yang bermula dengan kekalahan seperti di DUN Sungai Kandis dan DUN Seri Setia dan kemudiannya mendatangkan kemenangan demi kemenangan dari PRK Parlimen Cameron Highland dan Insya-ALLAH membawa ke DUN Slim.

Kemudiannya disusuli dengan perbahasan tentang MN dalam saluran Perhimpunan Agung UMNO dan Muktamar Pas selama dua tahun berturut-turut yang mendapat persetujuan akar umbi kedua-dua parti. Impak kewujudan MN sangat besar kerana platform ini berjaya meredakan perseteruan politik orang Melayu di peringkat akar umbi.


Kemuncak penyatuan MN adalah pada September tahun lalu apabila Dewan Merdeka PWTC menjadi saksi bertautnya antara UMNO dan Pas. Satu peristiwa yang sebenarnya mendatangkan gerun kepada pihak lawan kerana melalui penyatuan ini begitu banyak perseteruan klasik antara dua parti khususnya dalam kalangan orang Melayu dapat diredakan.

Oleh yang demikian, penyertaan Bersatu ke dalam MN perlu melalui proses penyesuaian yang organik, natural dan tidak dipaksa-paksa. Penyertaan perlu ikhlas dan jujur atas dasar penyatuan dan ukhuwah dan bukan kerana faktor kelangsungan kuasa dan lain-lain agenda.

Justeru, untuk Muafakat Nasional ini terus subur memekar, asas keikhlasan dan kejujuran mestilah dijadikan sandaran untuk dipegang oleh setiap parti yang membentuknya. Hormat menghormati dan saling bertolak ansur juga antara prasyarat yang perlu dipenuhi untuk mewujudkan satu pertautan yang jitu dan organik antara parti dalam MN.

Pertautannya tidak boleh dipaksa-paksa tetapi perlu dibuktikan keikhlasannya berdasarkan Piagam MN yang meletakkan lima asas yang sangat fundamental kepada kestabilan politik Malaysia.

Semoga Allah merahmati segala usaha yang kita lakukan untuk agama, bangsa dan negara.

Leave a Reply