Laluan mudah kepada BN

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini disifatkan sebagai perebutan kerusi yang sangat menarik untuk diperhatikan.

PRK itu menjadi tumpuan kerana ia melibatkan penyertaan daripada calon kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menentang calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, walaupun pengaruh Dr Mahathir dicanang mampu memberi saingan sengit kepada calon UMNO yang bertanding atas tiket BN, namun keyakinan itu dilihat sukar menewaskan calon UMNO-BN.

Menurutnya, dalam sejarah politik semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan, tidak sampai 10 calon Bebas menang dalam pilihan raya kerana mereka bukan sahaja tiada parti bahkan tidak mempunyai agenda, kekuatan dan jentera.



“Meskipun dibayangi Dr Mahathir, parti itu belum diluluskan. Sekiranya parti yang dinamakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu diluluskan, masa yang panjang diperlukan untuk membentuk jentera, kekuatan parti dan asas parti di peringkat akar umbi.

“Bukan mudah untuk parti baharu membina keyakinan rakyat dan mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang diumpamakan seperti Rome was not build in a day,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

Mohammad Tawfik daripada Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya turut melahirkan keyakinan bahawa calon Bebas proksi Dr Mahathir itu bakal berdepan kekalahan teruk kerana mood rakyat dan pengundi masih bersama parti kerajaan.

Pertembungan tiga penjuru PRK Slim melibatkan BN mempertaruhkan calon anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahankan kerusi berkenaan.



Seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol pokok mewakili kem Dr Mahathir, manakala seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 42, menggunakan simbol buku.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, pertembungan tiga penjuru pada PRK Slim mengulangi situasi PRK Chini.

Katanya, walaupun Amir Khusyairi bertanding sebagai calon Bebas tetapi beliau secara de facto mewakili parti baharu serpihan Bersatu iaitu Pejuang berbanding pada PRK Chini, calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin bertindak sebagai proksi dan mendapat restu daripada Dr Mahathir.

“Di atas kertas, BN dilihat tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi DUN Slim kerana beberapa faktor antaranya calon muda dan berpendidikan, jentera akar umbi BN serta keupayaan menggembleng sumber-sumber yang ada semasa berkempen serta keadaan semasa yang dilihat sangat memihak kepada BN.



“Sepertimana di Chini, dua perkara yang ingin dilihat adalah majoriti yang diperoleh BN kali ini dan mampukah PRK Slim mencatatkan peratusan keluar mengundi yang baik,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, calon BN tidak berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kerusi di PRK Slim berdasarkan prestasi pada PRU13.

Beliau berkata, selain kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO-BN, gabungan Pas dan Bersatu dalam Muafakat Nasional yang membentuk kerajaan PN dilihat memudahkan sokongan kepada calon BN.

“Jika kita gabungkan prestasi parti-parti yang bertanding pada PRU13 terutamanya dalam kalangan pengundi tegar BN dan Pas, maka tidak mustahil kita melihat sekurang-kurangnya seramai 12,000 pengundi menyokong calon BN,” katanya.



SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker