Kumpulan Azmin sah ahli Bersatu minggu depan – Zuraida

Share

Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengesahkan bahawa penyertaan mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan disahkan minggu depan.

Jelasnya, satu majlis akan diadakan bagi tujuan formaliti kumpulan yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, Sabtu depan.

“Kita cuma sebahagian daripada Bersatu. Sebab itu di Parlimen kami diletakkan sebagai ahli Bersatu.


“Ini cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami. Pada 22 Ogos akan ada majlis besar untuk umumkan penyertaan kami dalam Bersatu,” katanya dalam sidang media merasmikan Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Julai lalu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, beliau dan kumpulannya yang keluar PKR masih belum menyertai Bersatu.


Jelasnya, mereka masih menunggu sehingga Bersatu menyelesaikan Pemilihan dan Perhimpunan Agung parti terlebih dahulu sebelum menyertai parti itu.

Media sebelum ini melaporkan 10 bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan menyertai Bersatu.

Selain Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Zuraida, turut dikatakan menyertai Bersatu adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.


Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dilaporkan menjadi ahli bersekutu parti itu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply