Bekas setiausaha sulit kanan menteri, tunang direman 5 hari

Share

Seorang bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri dan tunangnya direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah RM3.7 juta berkaitan perkhidmatan pengiklanan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga 19 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, di Putrajaya hari ini, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, lelaki berumur 29 tahun itu dan tunangnya yang berusia 28 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 5.44 petang semalam selepas mereka hadir menyerah diri.


Pada 12 Jun lepas, media melaporkan SPRM sedang mengesan seorang bekas pegawai kanan kepada seorang bekas menteri bagi membantu siasatan kes.

Media memetik SPRM sebagai berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Saifullah Mohd [email protected] Hisham, 29, dan beralamat terakhir di Km2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308, Semporna, Sabah.

Sebelum itu, SPRM dilaporkan telah mendakwa seorang pemilik syarikat yang mempunyai kaitan dengan tender pengiklanan tersebut pada 27 Julai lalu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengemukakan dokumen dan invois palsu.


Pemilik syarikat berkenaan didakwa menggunakan dokumen palsu berhubung Tender RFP- Global Advertising Agencies and Promotion for Tourism bernilai RM89 juta bagi tempoh dua tahun.

– Bernama

Leave a Reply