Seekor kerbau, sepalit lumpur

Peribahasa seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit membawa ibrah yang cukup bermakna dalam menghayati falsafah keadilan dan hak sesama manusia dalam organisasi.

Hak mendapat ganjaran dan pengiktirafan seadilnya dalam organisasi amat dituntut kerana mekanisme itu mampu menjadi alat motivasi kepada warga untuk terus memburu kecemerlangan. Bagaimanapun, keadilan itu tidak lagi dirasai dan bernilai apabila pekerja bermasalah turut mendapat layanan yang memuaskan daripada organisasi.

Sudahlah dilayan sama rata seperti warga yang cemerlang, pekerja bermasalah ada ketika bagaikan dedalu api yang hinggap di pohon kayu, yang meracuni warga lain dan akhirnya mencemarkan imej keseluruhan organisasi. Ibrah tersirat daripada peribahasa itu wajar dihayati oleh pengurus semasa menangani impak pekerja bermasalah kepada organisasi.

Lazimnya, pekerja bermasalah terdiri daripada tiga kategori utama iaitu mereka yang berprestasi kerja tidak memuaskan akibat kekurangan latihan, motivasi dan kemahiran. Kedua, mereka yang kehilangan tumpuan kerja dan produktiviti kerana masalah peribadi. Ketiga, mereka yang melanggar peraturan di tempat kerja akibat stres kewangan dan ketidakpuasan kerja.



Secara amnya, pekerja bermasalah ini sering berpindah tempat kerja atau jabatan kerana kehadiran mereka tidaklah begitu diraikan. Pun begitu, kedapatan juga pekerja bermasalah yang terus kekal di satu organisasi atau jabatan untuk jangka masa panjang. Mengapakah hal ini boleh terjadi sedangkan proses penilaian prestasi dijalankan setiap tahun?

Sebenarnya, terdapat penilai yang lembut hati dan gusar untuk memberi skor prestasi rendah kepada mereka ini. Bahkan bukan sesuatu yang pelik apabila terdapat pekerja bermasalah mencapai skor prestasi cemerlang, hatta menerima anugerah perkhidmatan cemerlang, walaupun mereka sebenarnya tidak layak sama sekali!

Situasi yang tercetus akibat pekerja bermasalah itu perlu ditangani dengan bijak oleh organisasi agar mereka tidak menjadi virus berjangkit kepada warga organisasi yang cemerlang. Berpandukan kepada konsep dan fitrah motivasi, alat-alat motivasi tertentu perlu digunakan bagi menyedarkan pekerja bermasalah dan meningkatkan motivasi mereka.

Sebagai contoh, memaklumkan kepada mereka tentang keperluan kerja yang masih tidak dipenuhi mungkin menimbulkan kesedaran untuk segera berubah dan bergerak menuju matlamat. Pendekatan itu lebih berkesan berbanding dengan mengenakan hukuman yang bersifat negatif, yang akan lebih menakutkan pekerja. MotivasiFaktor seperti latihan dan pembangunan, persekitaran tempat kerja dan perhubungan sesama pekerja dan pengurus adalah lebih sesuai digunakan bagi memotivasikan pekerja bermasalah masa kini. Kesemua faktor ini boleh dikategorikan sebagai motivasi intrinsik yang memberi impak berpanjangan kepada organisasi.



Hakikatnya, bukan mudah untuk menangani pekerja bermasalah masa kini, apatah lagi jika mereka telah berada dalam zon selesa. Kepelbagaian ciri sumber manusia organisasi menambah cabaran kepada pengurus dalam usaha memotivasikan pekerja bermasalah.

Perbezaan jantina, agama, bangsa, budaya dan latar belakang pendidikan menunjukkan bahawa keperluan pekerja dan kaedah memotivasikan mereka mungkin berbeza. Sesuatu yang harus difahami oleh pengurus yang berhadapan dengan pekerja bermasalah ini adalah manusia sukakan perkara positif.

Jika sesuatu yang dimulai dengan positif, maka hasilnya pasti akan menjadi positif. Begitulah sebaliknya, jika elemen negatif seperti ancaman dan tekanan digunakan, hasil yang diharapkan mungkin tercapai tetapi tidak bertahan lama.

Oleh itu, pengurus disarankan mengiktiraf seramai mungkin sumber manusia yang menunjukkan peningkatan prestasi, walaupun hanya dengan pemberian sekeping sijil penghargaan atau pujian ikhlas. Lambat-laun, ia akan bertindak seperti pati wangian yang menyelinap ke seluruh pelosok jiwa pekerja bermasalah dan menyebarkan aura positif kepada mereka.



* Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker