Guan Eng keseorangan, mahkamah masih lagi lengang tanpa penyokong

Sebaran :

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dijangka di dakwa pada jam 10 pagi ini atas tuduhan membabitkan projek terowong bawah tanah Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Setakat jam 8 pagi, belum nampak kehadiran para penyokong Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP kecuali Ahli Dewan Undangan NEgeri Gadek, G Saminathan serta Siti Kassim.

Keadaan juga agak terkawal di perkarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta, dekat sini.



Setakat ini mahkamah telah mengeluarkan pas khas untuk pengamal-pengamal media membuat liputan.

Ini juga antara garis panduan yang telah diambil oleh pengurusan mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan pandemik Covid-19.

Guan Eng dijangka dihadapkan di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.


Malam tadi sekitar jam 9.10 malam Guan Eng tiba ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum di tahan oleh agensi itu.

Bekas Menteri Kewangan itu disahkan ditahan SPRM sekitar 9.30 malam tadi.

Peguamnya, RSN Rayer pula mengunci mulut berhubung perkembangan Guan Eng ketika keluar jam 11.10 malam.

SPRM menerusi satu kenyataan media malam tadi turut memaklumkan telah mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk menuduh Guan Eng berhubung kes terowong dasar laut di Pulau Pinang hari ini di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Manakala 10 Ogos nanti, Guan Eng akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.

Selain itu, Guan Eng juga dimaklumkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula.

Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008 sehingga 2018.

Ahli Parlimen Bagan (DAP) itu  telah dipanggil tiga kali untuk memberi keterangan dalam kes projek terowong dasar laut kerajaan Pulau Pinang yang telah menimbulkan banyak persoalan.

MalaysiaGazette difahamkan terdapatnya ‘bukti’ baharu berhubung kes terowong bawah tanah itu namun tidak dapat dipastikan lagi kesahihan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa Exco dan bekas Exco Kerajaan Pulau Pinang turut memberi keterangan kepada suruhanjaya itu berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Sehingga kini, SPRM sudah menahan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan tiga syarikat diserbu kerana dipercayai ada kaitan dengan projek berkenaan.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak 2017. – MalaysiaGazette


Sebaran :

Leave a Reply