Dr M akan ke Sabah, mahu 13 Adun berpaling tadah dihukum

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau akan mengunjungi Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di negeri itu.

Mahathir berkata bahawa 13 anggota dewan undangan negeri (Adun) yang berpaling tadah kepada pembangkang di negeri itu yang menyebabkan Ketua Menteri Shafie Apdal terpaksa membubarkan DUN bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa, akan dihukum.

“Saya akan pergi ke Sabah kerana saya mendapati bahawa apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk.

“Saya dapati 13 Adun yang keluar dari parti kerajaan negeri ditawarkan wang. Mereka disogok. Ini sesuatu yang ingin kita hapuskan.



“Mereka akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini hanya ikut duit, bukan ada prinsip. Apabila mereka mendapat duit, mereka melompat,” katanya semasa rancangan bual bicara dalam talian yang dianjurkan oleh kumpulan usahawan MyPerintis.

Tanpa menyebut nama secara spesifik, Mahathir mendakwa pihak yang bertanggungjawab membuat sogokan itu adalah orang yang sama yang sebelumnya memerangi rasuah.

“Saya dapati bahawa amalan rasuah lama yang ingin kita hapuskan telah muncul di Sabah.

“Apa yang menyedihkan adalah orang yang sebelum ini memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah,” katanya.



Mahathir berkata, wakil rakyat boleh meninggalkan parti mereka dalam isu-isu prinsip dan bukannya kerana ditawarkan habuan. Mkini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker