UMNO Shah Alam Sifatkan Kenyataan Khalid Samad Dangkal, Menghasut

Share

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membidas kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sangat merepek dan berunsur menghasut bangsa lain supaya memberi gambaran negatif terhadap orang Melayu.

Ini katanya berikutan ciapan pemimpin Parti Amanah Negara (Pan) itu di twitternya yang sangat dangkal dan bersifat menghasut rakyat terutamanya bukan Melayu bahawa laungan ‘Ketuanan Melayu’ sama macam ‘Zionisme’, ‘Nazisme’ dan ‘White Supremacy’.

“Ia boleh menyebabkan ketegangan di antara kaum dan memberi tanggapan negatif terhadap orang Melayu.


“Apabila orang-orang Melayu memperjuangkan Hak Istimewa orang Melayu yang telah dipersetujui bersama semua kaum sebelum kemerdekaan, Khalid menganggap ianya adalah fahaman sesat.

“Bagaimana pula dengan bangsa lain memperjuangkan ekonomi, budaya dan sejarah mereka? Tidak pula Khalid bising. Mengapa apabila orang Melayu menuntut janji-janji yang telah dipersetujui dikatakan fahaman sesat? Soalnya dalam satu kenyataan.

Soalnya lagi, jika dilihat kembali dari zaman kemerdekaan sehingga sekarang, adakah Hak-hak Istimewa Orang Melayu ini menindas bangsa lain.


“Orang Melayu tidak menghalang agama lain mengamalkan agama mereka malah rumah ibadat mereka merata-rata ada di Malaysia.

“Orang Melayu tidak pernah memboikot perniagaan bangsa lain (walaupun bangsa lain memilih pekerja berdasarkan bahasa mereka) sehinggakan ramai di antara mereka kaya-raya sehingga sekarang.

“Sekolah aliran Cina dan Tamil dibenarkan dan mereka minta untuk ditambahkan dan bantuan dari kerajaan juga ada diberikan,” katanya.


Justeru ujarnya, jika Ketuanan Melayu ini sama seperti ‘Zionisme’, ‘Nazisme’ dan ‘White Supremacy’, sudah pasti bangsa lain tidak dapat hidup aman dan hidup kaya-raya di Malaysia ini.

“Setuju? Tanyanya lagi.

Ulasnya juga, beliau tidak faham kenapa pemimpin seperti Khalid itu boleh diangkat sebagai pemimpin tertinggi sebuah parti seterusnya menjadi wakil rakyat kepada sebuah kawasan majoriti Melayu Muslim.

“Saya berharap pengundi di Shah Alam tidak lagi memilih beliau sebagai wakil rakyat PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) nanti.

“Adakah anda pengundi Shah Alam masih ingin mengundi beliau? Soalnya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply