Seludup lembu korban makin rancak

RANTAU PANJANG – Aktiviti penyeludupan haiwan korban terutama lembu dilihat semakin ‘rancak’ menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, usaha membawa masuk haiwan korban secara tidak sah menggunakan laluan tikus berjaya dipatahkan anggota penguat kuasa yang melakukan penugasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Bukit Bunga di Jeli.

Terbaharu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas lembu dari jenis ‘Short Horn Heifers’ bernilai RM310,000 selepas menahan sebuah lori di Kampung Jejawi di sini kira-kira jam 5.15 pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, sejurus ditahan anggota pasukan itu meminta pemandu lori tersebut mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen permit berkaitan lembu berkenaan.



“Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan tidak sama seperti yang didaftarkan di dalam permit tersebut.

“Semakan pada dokumen pula kita tidak menemui sebarang cop pengesahan rasmi dari Jabatan Veterinar Negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas lembu bernilai RM310,000 selepas menahan sebuah lori di Kampung Jejawi kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan itu mendedahkan bahawa lembu ternakan yang dibawa akan dihantar ke kandang berdekatan Kampung Jejawi.

Katanya, bagaimanapun wujud percanggahan apabila permit masuk ternakan didaftarkan di Limbat, Kota Bharu.



“Pemandu dan kelindan serta lembu termasuklah lori dibawa balik ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Rabu lalu, cubaan tiga lelaki untuk menyeludup 15 ekor lembu dari Thailand masuk ke negara ini menerusi Sungai Golok berjaya dipatahkan Pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu serbuan di Kampung Rahmat, Tanjung Baru di sini.

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker