Presiden Felda United meninggal dunia

Share

PRESIDEN Felda United, Anuar Malek, 58 meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sebuah pusat perubatan swasta, ibu negara jam 3 pagi tadi.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman berkata, jenazah Allahyarham kini berada di Masjid At Taqwa, Kampung Paroi, Seremban untuk dimandikan serta untuk solat jenazah.

Menurutnya, jenazah Allahywarham kemudiannya akan dibawa ke Tanah Tanah Perkuburan Islam Jalan Seremban Kuala Pilah, Seremban dan dijangka dikebumikan sebelum Zohor.

Seorang Yang Komited

“Allahyarham seorang presiden yang amat komited dalam membantu membangunkan Felda United FC sejak penubuhan Felda United FC.

“Selain itu, sifat mengambil berat Allahyarham kepada kebajikan pemain dan kelab amat dicontohi serta disegani.

“Sebagai contoh pada 25 Mac lalu, Allahyarham sebelum ini turut mengilhamkan pelancaran tabung kutipan sumbangan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan Felda melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF).

“Alhamdulillah, tabung ini berjaya mengumpulkan sebanyak RM118,569 untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan ketika pandemik Covid-19 melanda negara baru-baru ini,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Sementara itu menurut Afizal ketika ini kesemua staf pengurusan termasuk pemain serta jurulatih berada di masjid berkenaan.

Malah katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak turut berada di masjid berkenaan ketika ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan roh beliau sentiasa dicucuri rahmat,” katanya.

SH

Leave a Reply