Inkues 2 minggu kematian remaja Ireland Nora Anne bermula 24 Ogos

SEREMBAN: Mahkamah Koroner menetapkan 24 Ogos sebagai tarikh prosiding inkues remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin yang hilang dan kemudiannya ditemui mati semasa bercuti dengan keluarganya di sebuah resort di sini tahun lalu.

Koroner Maimoonah Aid yang membuat keputusan itu pada sesi pengurusan kes remaja berkenaan di sini semalam, berkata inkues akan berlangsung selama 2 minggu sehingga 4 Sept ini.

Turut ditetapkan ialah 13 Ogos ini sebagai tarikh lawatan ke lokasi kejadian di pusat peranginan di Pantai, di sini, lokasi mayatnya ditemui selepas dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas beliau dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu.

Pada sesi berkenaan, mahkamah turut memutuskan akan memanggil 64 daripada 102 saksi yang dikemukakan pegawai penyelaras inkues, Muhamad Iskandar Ahmad dengan Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Nor Marzukee Besar akan menjadi saksi pertama dalam prosiding bagi menentukan punca kematian Nora Anne.



Peguam, Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora Anne pada sesi itu turut memohon dikemukakan saksi tambahan, iaitu seorang doktor forensik yang menjalankan proses bedah siasat kedua di United Kingdom (UK) bagi membantu inkues itu.

Koroner membenarkan prosiding inkues berkenaan diakses melalui kemudahan telesidang seperti zoom bagi membolehkan keluarga remaja itu yang berada di UK mengikutinya.

“Namun, sukar juga hendak dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris memandangkan kebanyakan saksi akan bercakap dalam bahasa Malaysia dan saya akan kekal (bertutur) dalam bahasa Malaysia.”

Sementara itu, Iskandar memohon keluarga Nora Anne mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di UK bagi membantu mereka memahami perjalanan prosiding serta keterangan yang diberikan saksi dan ia dipersetujui koroner.



Sankara ketika ditemui di luar mahkamah, bersetuju dengan cadangan Iskandar dan akan mencadangkan kepada anak guamnya agar mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di sana bagi membantu menterjemah keterangan saksi dan perjalanan prosiding.

Iskandar berkata, meskipun jumlah saksi yang diputuskan adalah 64 orang, mahkamah boleh menambah bilangan saksi pada bila-bila masa.

Nora Anne, 15, hilang sehari selepas beliau dan ibu bapanya tiba di Malaysia untuk bercuti di sebuah pusat peranginan di Pantai dan mayatnya ditemui pada 13 Ogos dekat anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort itu, susulan pencarian besar-besaran.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.



Sementara itu, keluarga Nora Anne menyambut baik inkues akan diadakan di Malaysia untuk menentukan punca kematian remaja itu.

Lucie Blackman Trust (LBT), badan amal yang memberi sokongan kepada warga British mengalami krisis di luar negara, dalam kenyataan kepada Bernama memberitahu keluarga Nora Anne juga akan memberi kerjasama penuh kepada Mahkamah Koroner dan hadir sebagai saksi menerusi sidang video berikutan pandemik Covid-19.

“Kami gembira misi kami untuk keadilan terhadap Nora menunjukkan perkembangan. Kami telah berusaha keras memastikan kes Nora terus dibuka selepas ia ditutup polis pada awal 2020.

“Menjadi hasrat kami untuk mengadakan satu inkues. Ini penting dalam menentukan gambaran sepenuhnya mengenai apa yang berlaku kepada Nora dan bagaimana kesnya dikendalikan.



“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Koroner dan pihak berkuasa Malaysia atas sokongan mereka dalam proses yang sangat sukar ini,” kata LBT yang menyokong keluarga itu sejak kehilangan Nora Anne.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker