Anwar perlu akur pencalonan Dr M, buka ruang peralihan kuasa

Beberapa penganalisis politik melihat jalan terbaik buat Presiden PKR Anwar Ibrahim pada masa ini adalah untuk akur dengan keputusan parti komponen PH untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, dalam usaha PH Plus merampas semula kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).

Bagi mereka, sokongan PH Plus penting dalam membuka ruang kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Azmi Hassan berkata, cadangan kombinasi Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya akan dapat mengembalikan sokongan anggota Parlimen yang menyertai PN untuk kembali ke PH.

“Anwar tidak mempunyai pilihan selain akur dengan keputusan PH Plus iaitu menerima cadangan sebagai timbalan perdana menteri dan bersabar enam bulan lagi selepas itu.



“PKR tidak punya pilihan kerana tanpa sokongan PH Plus, parti itu tidak akan bergerak jauh dan peluang Anwar sebagai PM akan menjadi lebih tipis,” katanya kepada Malaysiakini.

“Berbanding dengan strategi Anwar sebagai perdana menteri, tanpa penglibatan Mahathir agak sukar untuk raih sokongan ahli parlimen dan juga rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, cadangan kombinasi Mahathir-Anwar ditimbulkan selepas kombinasi Anwar-Mukhriz Mahathir tidak mendapat sokongan Warisan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata PH ada mekanisme untuk memastikan peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar akan berlaku selepas enam bulan.



Bagaimanapun PKR tetap memutuskan untuk Anwar dicalonkan ke jawatan itu tanpa perlu melalui fasa peralihan kuasa dengan Mahathir.

Mengulas lanjut, Azmi berkata faktor Mahathir mempunyai pengaruh besar dalam menarik sokongan anggota Parlimen di Sabah dan Sarawak berbanding Anwar.

“Tidak syak lagi Anwar dianggap tewas kerana walaupun (PKR) punya ahli parlimen yang banyak, masih tidak mampu membuatkan keputusan menyebelahi beliau,” katanya lagi.

‘PKR mungkin bawa haluan sendiri’



Sementara itu, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, jika Anwar terus tidak mendapat sokongan dari parti komponen PH berhubung soal ini, maka tidak mustahil jika PKR mengambil haluan sendiri.

“Saya rasa Anwar masih mengharapkan sokongan Amanah dan DAP kepada beliau, juga Warisan dan Mahathir.

“Sekiranya semua parti tadi tidak menyokong Anwar, maka PKR mungkin mengambil haluan sendiri dalam berpolitik,” katanya, sambil menambah apa-apa pun Anwar kekal relevan dalam parti politik negara.

“PH perlukan Anwar untuk dapatkan kekuatan. Tanpa Anwar dan PKR, PH tak kuat.



“Mahathir sebenarnya yang akan menjadi tak relevan. Beliau hanya dapat kekuatan (dalam PH) bila DAP dan Amanah masih mahukan beliau,” katanya lagi.

Azizuddin Sani

Antara sebab utama DAP dan Amanah cenderung ke arah Mahathir adalah Anwar gagal mendapat sokongan yang diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Pada masa sama mereka menegaskan tetap menyokong Anwar tetapi dengan mengambil kira senario politik semasa, langkah terbaik adalah membenarkan tempoh peralihan kuasa selama enam bulan.

Bagaimanapun Anwar berkata pertimbangan telah dibuat berhubung kemungkinan untuk mencalonkan Mahathir tetapi bekas perdana menteri itu juga seperti tiada sokongan yang cukup untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat.



PKR ‘kingmaker’ sebenar

Berbeza dengan perkembangan semasa, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) melihat PKR sebagai ‘kingmaker’ sebenar dalam menentukan sama ada pencalonan Mahathir akan diteruskan atau tidak.

Katanya, pada masa ini Anwar dan PKR tidak rugi apa-apa kerana boleh memberi tumpuan mengukuhkan dalaman PKR serta melakukan persediaan untuk menghadapi PRU akan datang, jika ia diadakan lebih awal.

“Anwar dan PKR dilihat pemenang (dalam isu ini) kerana tanpa menyertai Mahathir, PKR masih boleh menjadi pembangkang yang berintegriti, menguatkan akar umbi, mendapat simpati rakyat kerana sudah hampir tiga kali dinafikan untuk jadi perdana menteri.



“Manakala yang tewas dalam keadaan ini ialah Mahathir yang tanpa mempunyai parti, tidak disokong oleh PKR, rancangannya untuk menjadi perdana menteri kali ketiga akan gagal dan boleh menyebabkan karier politik Mahathir berakhir,” katanya.

Katanya lagi, di tengah-tengah masalah yang dihadapi PH ketika ini, pilihan terbaik adalah agar Anwar mengetuai PH yang dilihatnya mampu membawa momentum baru kepada gabungan itu, berbanding pimpinan Mahathir sebelum ini yang menyaksikan tumbangnya mereka sebagai kerajaan persekutuan.

MK

Pemilik rangkaian Restoran Ali Maju akur notis penutupan sementara sebuah restorannya

Shafie umum Warisan paling banyak kerusi dan cuba memohon menghadap TYT Sabah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker