Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN Johor

Share

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Melalui satu catatan di Facebook, baginda bertitah bahawa dirinya tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.

Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat.

Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Pada hantaran di Facebook itu, sambil menzahirkan rasa amat kecewa baginda dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, titahnya, ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

“Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa,” titahnya yang dipercayai merujuk keadaan semasa penularan wabak Covid-19.

PH Johor mendakwa bahawa mereka mempunyai jumlah Adun yang mencukupi untuk merampas semula negeri itu setelah Perikatan Nasional mengambil alih pada bulan Februari lalu.

Spekulasi adalah bahawa ada Adun Bersatu yang ingin kembali dan meninggalkan PN.

PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar baru bulan Februari setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.

Beliau menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Ini adalah pelantikan menteri besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Mkini

(Visited 631 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!