Dr Mahathir pemimpin utama Bersatu, ada kuasa mutlak – Marzuki

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya mengingatkan semua pihak bahawa pemimpin utama parti itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau mempunyai kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu.

Katanya, ia ada selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti, justeru segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir sebagai penyandang jawatan pengerusi.

“Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti bahawa tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti.

“Pengerusi juga mempunyai kuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuarat MPT,” katanya dalam kenyataan malam ini.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin bahawa Dr. Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama Pakatan Harapan, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei lalu.

Artikel berkaitan: Bersatu enggan rujuk dengan PH

Radzi dalam kenyataan petang tadi turut menegaskan bahawa Bersatu di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berhasrat untuk kembali ke pangkuan Pakatan Harapan.

MGF23102019_SIDANG-PARLIMEN13
Marzuki Yahya
Mengulas lanjut, Marzuki turut menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah menamakan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.



“Justeru itu keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen BERSATU tidak boleh merubah ketetapan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi dan keputusan Bersatu tidak terikat dengan keputusan itu,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada dua perkara yang diputuskan pada mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan Tertinggi sebagai badan eksekutif tertinggi Bersatu pada 24 Februari 2020 iaitu:

i) sebulat suara menolak perletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi , dan
ii) sebulat suara menamakan Tun Dr. Mahathir sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri.

Katanya, mesyuarat MPT pada 23 Februari 2020 juga tidak mencapai keputusan secara rasmi untuk Bersatu keluar daripada PH.



“Walaupun perkara tersebut dibahaskan tetapi pada akhirnya keputusan sebulat suara memberi sepenuhnya kepecayaan kepada YB Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi untuk membuat keputusan.

“Maka, kenyataan bahawa kononnya keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah untuk BERSATU keluar dari PH adalah tidak tepat dan salah sama sekali,” katanya.

Menjawab dakwaan Mohd Radzi, Marzuki menegaskan MPT Bersatu tidak pernah sama sekali bersetuju untuk mengadakan sebarang hubungan dengan UMNO dan Pas serta tidak ada keputusan atau perbincangan secara rasmi untuk mewujudkan Perikatan Nasional (PN) dan menubuhkan kerajaan bersama.

Malah, katanya, MPT Bersatu dalam mesyuaratnya terakhir pada 23 dan 24 Februari 2020 itu tidak pernah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan atau tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut.



‘Di mana salah laku yang dilakukan oleh YB Tun Dr Mahathir yang melanggar peraturan parti sehingga boleh menggugurkan keahlian beliau, sebagai seorang Ahli Parlimen Langkawi beliau berhak memutuskan apa jua keputusan berladaskan mandat yang diberi oleh rakyat pengundi di Langkawi.

“Kenyataan bahawa gugur keahlian secara automatik Menurut fasa 10.2.3 adalah tidak terpakai langsung,” katanya.

Marzuki turut bertanya kepada Radzi tentang dakwaan beliau bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah melanggar peraturan dan keputusan parti sehingga boleh menyebabkan keahliannya tergugur.

Katanya, sebagai Ketua Penerangan yang hadir dalam mesyuarat MPT, Radzi seharusnya berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat dan bukannya membelakangi keputusan yang dibuat.



MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker