Terlalu leceh untuk 9 sektor mohon permit operasi, kata majikan

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai

Kerajaan digesa melaksanakan langkah kesihatan ketat ke atas 9 sektor tambahan yang dibenar meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menghapuskan syarat mendapat kelulusan untuk menyambung perniagaan.

Ia susulan kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang mengingatkan semua syarikat dalam 9 sektor tambahan dibenar meneruskan operasi supaya mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan mereka.

Miti berkata, semua permohonan mesti dibuat secara atas talian di www.miti.gov.my bermula 9 pagi 13 April ini.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan menggesa kerajaan membatalkan syarat itu yang akan menimbulkan masalah kepada pemilik perniagaan kecil.



“Bayangkan, kedai gunting rambut kecil-kecilan perlu memohon atas talian dengan Miti. Pengusaha kedai mungkin tidak tahu cara memohon atas talian.

“Ini akan membawa kekecewaan kepada pengusaha sedemikian yang telah menggantung operasi selama 28 hari.”

Kedai perkakasan, barangan elektrik, salun dan kedai gunting rambut serta kedai dobi perkhidmatan penuh antara perniagaan yang dibenar meneruskan operasi mulai 15 April ini ketika PKP memasuki fasa ke-3.

Shamsuddin berkata, syarikat yang mahu meneruskan operasi akan mengalami penangguhan kerana perlu menunggu kelulusan Miti.



Katanya, Putrajaya boleh menetapkan syarat lebih ketat berbanding mewajibkan majikan memohon untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, syarat itu boleh termasuk prosedur melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja serta masyarakat.

“Mana-mana majikan yang boleh memenuhi syarat ketat perlu dibenarkan beroperasi,” katanya sambil menambah majikan perlu memaklumkan kerajaan bila ia akan memulakan operasi.

“Dengan menghapuskan keperluan birokrasi, kami berharap majikan boleh meneruskan perniagaan dan melindungi sumber pendapatan majikan serta pekerja.”



Katanya, pekerja perlu menjalani ujian saringan koronavirus secara berkala dengan kos ditanggung Perkeso.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai tidak menjangkakan akan timbul sebarang masalah.

Katanya, kementerian itu sepatutnya belajar daripada pengalaman menangani permohonan syarikat ketika PKP fasa 1.

“Saya diberitahu Miti sekarang mempunyai kaedah untuk memberi kelulusan dengan cepat, jadi mari kita lihat sektor baru menyerahkan permohonan mereka pada Isnin ini.”



FMT

9 sektor tambahan perlu dapat kelulusan Miti sebelum mula operasi ketika PKP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker