KKM saran kerajaan tangguh sementara operasi kedai gunting rambut

Share

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan kerajaan menangguhkan sementara operasi kedai gunting rambut yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Tiga.

Jelasnya, kerajaan boleh melakukan perancangan membuka semula premis itu, namun pelaksanaannya tidak boleh dilakukan semasa tempoh perintah berkenaan.
“Saya pasti ramai rakyat yang terkesan dengan PKP 1 dan 2. Kita sedang berjuang memerangi COVID-19 ini, namun kita masih belum menang. Apa yang penting ialah tindakan. Kita sudah dapat tanda-tanda kejayaan.

“Antara tindakan kita yang berjaya menurunkan kes ialah kawalan sempadan, kawalan terhadap perhimpunan dan amalan penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Pada masa sama katanya, PKP fasa tiga perlu diperketatkan sama seperti yang dilakukan pada fasa pertama dan kedua.

“Semua tindakan kita perlu diperketatkan untuk PKP fasa tiga dan dari segi perancangan untuk membuka atau had pergerakan, KKM syor agar kita kekalkan apa yang dilakukan semasa PKP fasa satu dan dua. Mungkin perancangan boleh dilaksanakn, tetapi tangguhkan sementara,” tambah beliau.

Bagaimanapun katanya, perancangan membuka perkhidmatan gunting rambut boleh dibuat selepas PKP fasa tiga, namun ia bergantung kepada pencapaian negara dalam mengurangkan kes COVID-19.

“Kita kena lihat kalau selepas fasa ketiga apakah tindakan kita. Jadi perancangan bermula dari sekarang mungkin kita boleh laksanakan selepas fasa tiga. Namun yang penting kita kena pantau data seharian dan melihat sama ada kita capai tak unjuran untuk mengurangkan kes COVID-19 di negara kita,” ujarnya.

Awani

Leave a Reply