Polemik jawatan Kabinet Muhyiddin

Share


OLEH AB JALIL BACKER

PEMBENTUKAN Kabinet belum meredakan suhu politik negara, namun ia sekurang-kurangnya menstabilkan negara buat sementara waktu dalam berhadapan kemelesetan ekonomi dan krisis kesihatan pandemik Covid-19.

Pembentukan Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nyata tidak mengambil kira faktor kestabilan kerajaan tetapi lebih kepada ‘memberi hadiah’ kepada mereka yang telah berjasa menaikkan beliau.

Kesilapan terbesar Muhyiddin adalah tidak melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO yang merupakan parti terbesar dalam kerjasama.

Ibarat menambah garam pada luka, Muhyiddin mengumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet sekiranya beliau bercuti.

Pengumuman tersebut bukan sahaja meremehkan peranan UMNO, malah mengkhianati Pas yang melihat isu moral pemimpin sebagai sesuatu yang serius.

Ramai yang menjangkakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Senator dan diberi jawatan menteri kanan termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apabila itu tidak berlaku, Muhyiddin telah melepaskan peluang membentuk Kabinet mantap dalam mempengaruhi sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada kerajaan ini.

Tindakan mengetepikan UMNO daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kementerian yang lebih besar peranan merupakan satu percaturan politik yang naif dari sudut kestabilan kerajaan.

Mohamad menyifatkan Kabinet Muhyiddin telah mengecilkan peranan UMNO sebagai parti terbesar kerjasama ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khalid Nordin pula mengiakan pandangan Mohamad sambil menegaskan bahawa: “Kesetiaan kepada kerajaan oleh ahli Parlimen sahaja dan tidak semestinya daripada UMNO secara automatik.”

Khabarnya itulah juga pandangan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada Khamis lalu.

UMNO turut mengambil tindakan menggugurkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Annuar Nasarah daripada jawatan Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan. Ia bertujuan mengasingkan parti daripada kerajaan.

Memang UMNO berasa terkejut dan sedikit berkecil hati dengan cara pembahagian kerusi Kabinet. Namun itu rahmat dalam keaiban.

UMNO harus bersyukur diberi portfolio kecil dan tidak banyak berurusan langsung dengan masalah kesempitan dan keperluan hidup rakyat. Ia mengurangkan serangan parti lawan dan kritikan keras rakyat kepada UMNO.

Kewangan

Kerosakan pengurusan kewangan oleh Pakatan Harapan adalah sangat besar untuk dipulihkan.

Justeru, UMNO perlu berhenti berpolemik mengenai jawatan dan membiarkan Muhyiddin menguruskan Kabinet buat sementara waktu.

Saya khuatir jika kita berterusan mempertikaikan pelantikan, rakyat akan melihat UMNO sebagai parti rakus, ego dan sombong.

Kita tidak boleh dilihat sebagai parti yang tidak ikhlas kepada perjuangan.

Apa yang boleh pemimpin UMNO buat ialah bertenang dan mengkritik apabila polisi kerajaan tidak menguntungkan rakyat.

UMNO juga harus membantu menterinya mempamerkan prestasi lebih baik.

Ingatlah yang penting untuk menarik hati rakyat menyokong UMNO pada pilihan raya akan datang bukannya menang sorak hari ini.

Dalam PRU lepas UMNO parti yang memegang hampir semua kementerian utama kalah juga.

Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan usul bubar Parlimen kerana ia tidak mendapat cukup sokongan.

Setelah saranan membubarkan Parlimen bukan pilihan yang ada, maka UMNO membuat keputusan menyokong kumpulan Muhyiddin.

Justeru, UMNO membuat keputusan ke arah yang kurang merosakkan negara.

Sinar



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *