Covid-19: Jaga diri masing-masing untuk elak hospital lumpuh

Jumlah kes Covid-19 tiba-tiba naik mendadak ke-428 kes. Rakyat dan kerajaan tidak boleh lagi mengambil mudah ancaman Covid-19. Kedua-dua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan hospital kita lumpuh akibat kenaikan jumlah pesakit Covid-19 secara mendadak melebihi jumlah yang mampu ditanggung hospital kita.

Rakyat usah lagi membuat perbandingan antara Covid-19 dengan penyakit lain seperti kanser ataupun denggi dari segi jumlah kematian, kononnya angka kematian Covid-19 lebih rendah.

Perlu diingat, penyakit-penyakit lain tidak melumpuhkan ekonomi, dan tidak menyebabkan seseorang itu hilang kebebasan kerana kuarantin sebagaimana Covid-19. Kedua, perbandingan sedemikian meremehkan hati orang awam tentang bahayanya Covid-19 terhadap sosial, ekonomi dan negara.

Contohnya bagi pesakit kanser ataupun denggi, yang sengsara hanyalah pesakit tersebut dan orang yang perlu menjaganya. Tapi bagi pesakit Covid-19, dia boleh menyebabkan keluarga, rakan baik, rakan sekerja, orang seagama dan sekolah anak yang ada hubungan rapat dikuarantin.



Bayangkan kalau pesakit atau suspek Covid-19 jenis kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, seperti nelayan, penoreh getah, pekerja kilang – tempoh kuarantin atau rawatan yang melebihi 14 hari bermaksud kehilangan punca pendapatan yang teruk.

Jika mereka dikuarantin dan dirawat di hospital, siapakah yang bakal menjaga dan memberi makan kepada isteri dan anak-anak kecil yang juga terpaksa dikuarantin? Di sinilah kerajaan perlu memastikan golongan ini terjaga kebajikannya jika mereka tidak bernasib baik dijangkiti Covid-19. Jika tidak, golongan ini akan terus bekerja meskipun mereka dalam keadaan tidak sihat.

Namun, ini tidak cukup.

Jika Covid-19 terkena pada mereka yang mempunyai kes jenayah, yang mempunyai gaya hidup tidak sihat dan berkemungkinan dijangkiti kes HIV dan pendatang haram contohnya, kerajaan perlu memikirkan cara untuk memaksa golongan ini tampil menerima rawatan. Ini kerana kebarangkalian golongan ini memilih untuk menyorok mencari ubat sendiri daripada melaporkan diri di hospital untuk elak ditahan adalah tinggi.



Di sinilah rakyat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaporkan situasi atau manusia yang kelihatan mengalami simptom-simpton Covid-19 tapi enggan ke hospital. Tindakan ini bukan kejam, tapi ia bertujuan untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat.

Rakyat juga perlu bekerjasama memastikan kawasan tempat kerja, rumah dan komuniti bebas daripada Covid-19 dan menyedarkan orang sekeliling terhadap Covid-19.

Antara perkara utama yang boleh dibuat ialah membuat pengakuan jujur kepada majikan dan doktor jika ada ahli keluarga atau kenalan rapat yang disyaki terkena Covid-19 lalu mula mengkuarantin diri sendiri. Selain itu, seseorang perlu mengelakkan diri daripada pergi pejabat, tempat ibadah dan mana-mana kawasan orang ramai apabila berasa diri tidak sihat, meskipun ia bukan Covid-19.

Mereka yang baru pulang daripada luar negara perlu jujur terhadap rakan, majikan dan ahli keluarga terdekat dengan memaklumkan mereka baru pulang dari luar negara dan mengambil inisiatif untuk mengasingkan diri tanpa disuruh.



Akhir sekali, rakyat Malaysia perlu membantu pihak berkuasa untuk menyebarkan maklumat “apa yang perlu dibuat sekiranya anda terasa dijangkiti Covid-19” dengan mengasingkan diri lalu menelefon hotline 0388810200/0388810600/0388810700 bagi mendapatkan bantuan dan bukannya menghadirkan diri ke klinik biasa untuk mendapatkan rawatan.

Wabak Covid-19 sudah terbukti dapat menceroboh sistem imuniti orang kaya yang badannya disuap dengan makanan yang lebih baik, jagaan yang lebih baik, ubat yang lebih berkesan dan kawalan yang lebih rapi.

Jadi orang biasa dan miskin tiada peluang untuk melawan Covid-19 melainkan kita saling bekerjasama dan bekerja sama-sama dengan pihak berkuasa dengan memainkan peranan masing-masing. Pendek kata, semua rakyat perlu mengambil bahagian dan tanggungjawab masing-masing untuk mengurangkan risiko menyebarkan Covid-19 kepada orang lain. Hanya dengan ini negara dan rakyatnya boleh terselamat daripada wabak Covid-19 yang kini taraf pandemik.

Timmy Say
FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker