Covid-19 : Peserta Jemaah Tabligh , buatlah pemeriksaan kesihatan segera.

Share

‘Buatlah pemeriksaan kesihatan’

Pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia menggesa semua ahli jemaah tabligh daripada 28 markas di seluruh negara supaya ambil tanggungjawab dan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menjalani pemeriksaan kesihatan segera bagi membendung penularan COVID-19.

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah & Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong, berkata pihak KKM sudah memberikan peringatan berulang kali bagi memastikan semua jemaah yang terbabit dalam perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu untuk tampil dengan mematuhi langkah sewajarnya.

“Pihak berkuasa daripada pelbagai jabatan sedang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah dalam menangani krisis wabak yang melanda.

“Mereka telah mengingatkan kita (jemaah tabligh) berulang kali untuk mengambil langkah sewajarnya dalam mencegah penularan wabak berkenaan.

“Justeru, kami selaku pucuk pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia, menekankan sekali lagi kepada jemaah di 28 markas yang berada di seluruh negara supaya mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh, bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya kerisauan, ketegangan dan tanggapan salah (jika ada) dari mana-mana pihak, baik masyarakat umum mahupun pihak berkuasa, dapat diredakan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, semua aktiviti membabitkan jemaah tabligh hendaklah dihentikan serta merta buat masa ini.

“Sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang atau dihantar keluar dari markas hingga keputusan mesyuarat selanjutnya.

“Kami berharap keputusan ini dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Ambillah peluang ini untuk meningkatkan amalan di rumah masing-masing, banyakkan berdoa, istighfar dan ingatlah ini semua ujian daripada Allah SWT,” katanya.

Katanya, jemaah yang terbabit dalam perhimpunan Jor Qudama’ dan Ulama’ dikehendaki untuk segera menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing atau menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan perubatan.

Semalam, BH melaporkan sebanyak 190 kes baharu positif jangkitan COVID-19 dicatatkan kebanyakannya berkaitan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, menjadikan jumlah kes positif wabak itu kepada 428 kes.

Dalam laporan sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh masih giat diteruskan dan individu yang menghadiri program berkenaan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

BH

Leave a Reply