Buka semula pusat keamanan Saudi bukan keutamaan kerajaan, kata Hishammuddin M

Kerajaan belum berhasrat untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup oleh pentadbiran lepas sebelum ini.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata apa-apa keputusan yang akan dibuat berhubung pusat itu adalah bersandarkan kepentingan negara.

“Tetapi keutamaan masa ini bukan mengenai keganasan, tetapi virus (Covid-19) yang kita tidak dapat lihat,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin, yang baru dilantik sebagai menteri luar susulan perubahan kerajaan berkata, pusat berkenaan melibatkan isu keselamatan negara dan keputusan mengenainya akan dibincangkan di peringkat lebih tinggi.



“Saya harap kalau hubungan kita dah balik pada landasan yang betul, ia akan dibincangkan di peringkat lebih tinggi, iaitu di peringkat perdana menteri sendiri.

“Saya percaya apa juga keputusan yang dibuat, ia mesti bersandarkan pada kepentingan negara kita sendiri.

“Kalau ia baik, ia akan dibincangkan,” katanya.

Pusat itu, yang dicadangkan penubuhannya selepas lawatan Raja Saudi, Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, dibatalkan pada Ogos 2018, 3 bulan selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa.



Pengkritik mempersoalkan langkah bersama Riyadh dalam memerangi terorisme, dengan mendakwa Arab Saudi tidak layak mengetuai pusat itu memandangkan kempen pengebomannya di Yaman, serta doktrin rasminya, Wahhabisme yang dikaitkan dengan ideologi IS.

Kerajaan terdahulu Barisan Nasional bersetuju menyediakan tanah di Putrajaya untuk pusat itu.

Menteri Saudi ke Malaysia minggu depan

Hishammuddin Hussein memaklumkan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud akan datang ke Malaysia pada Khamis.



Pertemuan itu bagi mengembalikan hubungan baik antara kedua negara.

“Saya dapat informasi Putera Faisal akan datang Malaysia Khamis ini. Saya sudah beritahu 2 hari lalu, saya mahu hubungan Malaysia dengan Arab Saudi kembali ke landasan,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Hishammuddin berkata Putera Faisal beriya-iya mahu ke Malaysia namun dinasihatkan tidak berbuat demikian ekoran penularan Covid-19.

Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan Emiriah Arab Bersatu sedia hantar pasukan ke Malaysia bagi membantu pasukan kesihatan menangani Covid-19.



“UAE mendahului dalam melawan Covid-19. Mereka sedia untuk membantu kita dan bekerjasama dengan Malaysia namun soal logistik diserahkan kepada kita,” katanya.

Dua hari lalu, Hishammuddin dihubungi rakan sejawat dari China, Indonesia, Thailand, Singapura, UAE dan Arab Saudi.

Antara yang dibincangkan penularan virus Covid-19.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker