Shahril Ucap Penghargaan, Akan Galas Amanah Sebaik Mungkin

Share

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Sufian Hamdan berkata pelantikannya sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang baharu merupakan satu amanah amat besar sekali.

Katanya dalam satu kenyataan, selaku insan kerdil beliau akan cuba sebaik mampu untuk menggalasnya dengan penuh tawadduk sebagai manusia biasa serba kekurangan.

“Jutaan penghargaan kepada Presiden, Timbalan, Setiausaha Agung, Naib-naib Presiden dan seluruh saf kepimpinan yang memberi kepercayaan.

“Terima kasih khas juga kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Bahagian saya, serta rakan-rakan UMNO bahagian saya di Kuala Langat yang memberi sokongan dan dorongan.

“Mohon doakan saya,” tambah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat itu lagi.

Sebagai rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan medianya berkata Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang Khamis petang telah memutuskan Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO, Shahril sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Rais Mohd Yassin sebagai salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Sebelum ini, jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Tan Sri Annuar Musa yang kini dilantik menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Ketua Penerangan pula Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah turut dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Seterusnya, Shahril turut mengucapkan terima kasih atas semua mesej tahniah yang disampaikan kepadanya berhubungan pelantikan tersebut. – UMNO ONLINE

Leave a Reply