Agenda Utama Pastikan UMNO, Rakan Parti Seperjuangan Menang PRU15 – Ahmad Maslan

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO adalah parti politik terbesar dan paling banyak berjasa di negara ini.

Oleh kerana itu ujarnya, tugas dan tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung mengelola hal ehwal pentadbiran parti juga besar bebanannya serta percaya berkat sokongan rakan-rakan pimpinan, atas izin Allah SWT ianya boleh menjadi sedikit keringanan.

“Saya akan membantu terutamanya Presiden, Timbalan, Naib-Naib dan semua pimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dengan gigih dalam menjalankan amanah perjuangan parti.

“Antara agenda utama itu ialah untuk memastikan kemenangan besar UMNO dan rakan parti-parti seperjuangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.



“Cabaran di hadapan sangat luar biasa. Suasana politik juga banyak yang memeranjatkan. Namun berkat kerjasama semua, tiada apa yang mustahil untuk dicapai, Insya-Allah,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan medianya berkata Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang telah memutuskan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Sufian Hamdan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Rais Mohd Yassin sebagai salah seorang Ahli MKT.

Sebelum ini, jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Tan Sri Annuar Musa yang kini dilantik menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional sebagai Menteri Wilayah Persekutuan manakala Ketua Penerangan pula Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Seterusnya, ulas Ahmad lagi, beliau tidak mampu menjawab semua ucapan tahniah dan rakan-rakan yang memberi kata-kata motivasi setelah pelantikannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.



“Sukacita dengan penuh hormatnya saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih di atas kiriman tahniah dan kata-kata perangsang oleh rakan-rakan semua.

“Jawatan Setiausaha Agung UMNO tidak pernah saya termimpi atau impikan. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang telah memberikan kepercayaan yang tinggi,” tambahnya.

Ahmad turut berharap UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia serta Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional terus berjaya untuk semua.
Seperti biasa, Ahmad yang terkenal dengan pantun-pantunnya, turut menitipkan beberapa rangkap pantun.

Bunga melati, berbau wangi,
Bunga kesuma, di pohon ara;
Lautan api, kita harungi,
Demi agama, bangsa negara.



Daun selasih, daun kayu,
Terima kasih, thank you. – UMNO ONLINE

Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker