Akidah kukuh di bumi daif

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Kemboja antara negara Indochina yang penduduknya secara majoriti beragama Buddha. Namun demikian, Islam tetap terpancar mekar di bumi yang giat dengan usaha agrotani itu.

Negara berkenaan mempunyai keluasan 182,000 kilometer persegi, bersempadankan Laos di sebelah timur, Vietnam di selatannya serta di bahagian tenggara dan barat pula bersempadan dengan Thailand. Inilah rupa bentuk fizikal geografi bumi Kemboja.

Masyarakat Islam dianggarkan kurang 10 peratus keseluruhan rakyat Kemboja yang berjumlah 10 juta orang namun kualiti kehidupan masyarakat Muslim di sini agak daif dalam serba- serbi yang memerlukan bantuan dan ihsan daripada masyarakat luar khususnya saudara seagama.



Sudah tentu sebagai masyarakat minoriti dalam kelompok rakyat beragama Buddha, mereka lalui perjalanan hidup penuh getir dengan kurangnya perhatian diberikan pemerintah.

Walaupun begitu, tidak bermakna mereka tidak mampu berdikari menyara hidup meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Penulis turut terkesan dengan perjalanan hidup masyarakat Cham Khmer (Muslim Kemboja), malahan menerusi pembacaan buku sejarah berkenaan kedatangan Islam di bumi tersebut melonjakkan saya untuk sampai juga suatu masa nanti di sana demi menghayati sendiri detik masa kehidupan saudara seagama.

Dengan izin Allah juga, penulis bersama sekumpulan anak muda Muslim Malaysia seolah-olah dijemput Allah berada di bumi Kemboja selama lima hari dalam rangka kerja kemasyarakatan. Rombongan kami diketuai Safri Ibrahim yang lebih popular dengan panggilan Ustaz Safri al-Ridani itu berangkat menuju Phnom Penh iaitu ibu negara Kemboja.



Sebelum berangkat jemaah diberi taklimat ringkas Ustaz Safri mengenai kedudukan masyarakat dan geografi Kemboja khususnya kawasan perkampungan Muslim supaya kami bersedia dari awal. Malah, beliau menghuraikan secara jelas tentang tugasan di sana.

Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang berkeluasan 400 hektar, kami menunggu kedatangan kenderaan disewa khas membawa kami ke perkampungan Muslim di Kampung Perah Pedau yang terletak 120km dari ibu kota Phnom Penh.

Setelah berkenalan dengan ketua dan pengurusan kampung, rombongan jemaah dibawa ke tempat penginapan dan ternyata layanan mereka menyentuh hati kerana kesantunan budi pekerti terzahir pada perwatakan setiap penduduk kampung itu.

Namun, hakikat terpaksa ‘ditelan’ dan simpan kemas di lubuk sanubari ialah sedihnya melihat kemiskinan melingkari kehidupan masyarakat Islam di kampung berkenaan.



Penulis boleh membuat kesimpulan ia serba-serbi dalam kekurangan. Semua masyarakat di kawasan perkampungan itu bergantung kepada usaha tani yang ibarat kata, kais pagi makan pagi; kais petang, makan petang.’ Itulah yang boleh saya simpulkan. Hal itu menambahkan lagi hasrat hati membantu mereka.

Berbekalkan sumbangan dikumpulkan semasa di tanah air, rombongan mengagihkan kepada masyarakat di perkampungan berkenaan.

Tatkala menyaksikan kanak-kanak yang dalam gelak riang beratur mendapat hadiah sumbangan yang dihulurkan jemaah rombongan membuatkan air mata penulis menitis tanpa henti.

Apa tidaknya, meskipun ibu bapa mereka serba miskin dan daif namun si anak kecil tetap keriangan. Benarlah kehadiran zuriat itu anugerah penawar jiwa oleh Allah SWT.



Sebelum meninggalkan bumi Kemboja, tidak lupa jemaah rombongan mendoakan semoga masyarakat Islam terus hidup dalam keamanan dan makmur sejahtera. Semoga mereka tetap kekal menjulang tinggi akidah dan pegangan tauhid sekalipun dihimpit kemiskinan hidup.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker