Percanggahan Kenyataan Antara Tabung Haji, THHR Dan Mujahid

Share


SETELAH tular surat penamatan operasi dan hospitaliti 4 Hotel Tabung Haji di bawah Kumpulan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR), sehingga menimbulkan keresahan rakyat, hari ini Lembaga Tabung Haji tampil menjelaskan melalui kenyataan medianya.

Namun, setelah meneliti kenyataan rasmi pihak TH tersebut, ternyata wujudnya percanggahan antara kenyataan awal pihak THHR yang tular, kenyataan rasmi TH bahkan dengan kenyataan YB Menteri Dr Mujahid sendiri termasuk kenyataan Blogger upahan yang dimuatnaik oleh Menteri dalam status Facebook beliau.

Persoalannya:

1. Kenapa begitu jelas percanggahan kenyataan TH Hotel (THHR) dan kenyataan YB Menteri dengan kenyataan terbaru TH? (Dalam kenyataan THHR, 4 hotel TH telah ditamatkan operasinya, sedangkan TH dakwa tidak tamat, hanya tukar pengendali operasi manakala Menteri pula kata terpaksa dijual kerana tidak berdaya maju!)

2. Apakah maksud TH tidak menutup operasi dan hanya memindahkan milik hotel-hotel terbabit kepada UJSB?Bukankah dalam dokumen perjanjian Sukuk, TH selaku pemegang Sukuk tidak mempunyai sebarang hak atau klaim ke atas sebarang keuntungan atas aset-aset yang telah dipindah milik kepada UJSB?

3. Dengan kata lain, TH secara asasnya sudah hilang pemilikan ke atas aset-aset atau hotel-hotel terbabit? Bahasa mudah difahami orang awam sudah terjual! Lebih jelas apabila namapun bukan lagi TH Hotel tapi Raia Hotel!

4. Apakah jaminan hotel-hotel yang begitu dekat dengan hati umat Islam ini tidak akhirnya jatuh pemilikannya ke tangan orang lain setelah jelas pemilikannya kini berada di bawah UJSB?

5. Apakah keperluan UJ Property Management Sdn Bhd ditubuhkan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) walhal SPV yang diwujudkan dibawah Kementerian Kewangan itu sepatutnya berperanan hanya untuk menstrukturkan kembali kewangan TH dengan mengurangkan komitmen Kerajaan dan bukannya menambah risiko yang boleh menjejaskan pemulihan aset TH?

6. Apakah keperluan untuk UJSB syarikat milik Kementerian Kewangan tiba-tiba menubuhkan UJ Property Management Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam industri perhotelan sedangkan alasan awal diwujudkan SPV UJSB hanyalah untuk memulihkan kewangan TH, bukan akhirnya semacam bersaing pula dengan THHR? Adakah penubuhan syarikat pengurusan ini satu langkah untuk memudahkan proses penjualan 4 hotel tersebut dengan cara menjual semua kepentingan saham dalam syarikat ini kepada pihak swasta?

Persoalan-persoalan di atas perlukan jawapan tuntas YB Menteri dan pihak TH kerana kenyataan media terbaru dilihat semacam cuba melakukan pusingan U setelah terkantoi dengan tularan surat awal berkenaan penamatan operasi Hotel-hotel TH.

Lebih merisaukan ialah tiada lagi jaminan ke atas pekerja-pekerja THHR setelah berpindah hak milik hotel kepada UJ Property Management Sdn Bhd.

YB Menteri juga tidak boleh lagi cuba berselindung di sebalik tentera siber upahan dengan menafikan sebarang penjualan hotel-hotel terbabit setelah disahkan sendiri oleh kenyataan rasmi TH ini. Tampillah sebagai PEJUANG! – UMNO-ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *