Aset TH: Apakah Kesudahannya Jika PH Terus Jual Dan Jual…

Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Majid melahirkan rasa kesal berkenaan isu empat buah hotel di bawah Kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd yang juga merupakan anak syarikat Tabung Haji (TH) yang ditamatkan operasinya berkuat kuasa April ini.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Perak menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf yang bertanggungjawab kepada TH dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa penamatan operasi hotel ini tidak membawa kepada penjualan aset-aset tersebut.

“Kami amat khuatir dengan perkembangan mutakhir ini banyak aset atau syarikat milik Kementerian Kewangan amnya dan milik Kerajaan Malaysia khasnya yang telah dijual.”

Katanya, kisah penamatan operasi empat buah Hotel ini seolah-olah satu rencana atau episod penjualan baru bangunan hotel-hotel tersebut.

“Umum mengetahui, hibah kepada penyimpan deposit TH dan juga subsidi bagi pendeposit mengerjakan haji datangnya daripada pelaburan yang dibuat oleh TH ke atas perniagaan yang menguntungkan dan mematuhi syariah.

“Jelas, selepas 20 bulan pemerintahan PH, banyak aset milik kerajaan terjual termasuk ladang yang dimiliki oleh TH Plantations dengan harga yang jauh lebih murah kepada syarikat korporat yang berunsurkan keuntungan semata-mata sebelum ini. Adakah empat bangunan hotel ini juga nanti akan dijual dengan alasan tidakmampu menanggung kos operasi?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, umum sedia maklum keempat-empat hotel ini mendapat rating yang tinggi daripada pengunjung melalui perkhidmatan yang ditawarkan. Jadi, agak mustahil sekiranya hotel-hotel ini mengalami kerugian yang mendadak.

“Kami juga menuntut penyelesaian pihak kerajaan kepada ratusan kakitangan yang akan diberhentikan kerja nanti. Bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka dan keluarga di masa akan datang. Apakah jaminan kepada mereka untuk mendapat peluang pekerjaan lain.

“Sudahlah sebelum ini PH menjanjikan 1 Juta peluang pekerjaan tetapi gagal, malah puluhan ribu hilang pekerjaan di era pemerintahan PH. Tambahan dengan keadaan penutupan operasi ini sudah pastinya kadar pengangguran negara akan terus meningkat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker