Kes pelajar dijangkiti influenza di 3 negeri naik

 

Kes wabak influenza melibatkan pelajar sekolah mencatatkan peningkatan di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.

Di Pulau Pinang, Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, 161 pelajar dari 77 sekolah rendah dan menengah dijangkiti wabak itu hari ini berbanding 142 orang di 70 sekolah semalam.



Daripada jumlah itu, 9 pelajar sedang menerima rawatan di hospital.

“Mereka yang tidak menerima rawatan di hospital dikuarantin di rumah masing-masing dan semua dalam keadaan stabil,” katanya kepada Bernama.

Di Perak, Pengarah Pendidikan negeri, Suhaimi Mohamed Ali berkata, 57 pelajar dijangkiti influenza berbanding 37 semalam.

Beliau berkata, ia melibatkan 34 sekolah di 5 daerah, antaranya membabitkan 16 pelajar di Bagan Datuk, termasuk di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan yang ditutup sejak Isnin lalu sehingga Ahad ini.



Di Negeri Sembilan, jangkitan influenza turut merekodkan peningkatan 22 berbanding 11 kes semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Faid Rashid berkata, penambahan 11 kes itu membabitkan murid prasekolah di Port Dickson.

Katanya, kes Influenza Like Illness (ILI) juga menyaksikan peningkatan daripada 106 kes semalam kepada 112 kes hari ini.

“Bagaimanapun, situasi terkini bagi penyakit Influenza dan ILI di negeri ini dalam keadaan terkawal. Tiada sekolah ditutup dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.



Di Selangor, Pengarah Pendidikan negeri, Mahanom Mat Sam berkata, 387 kes influenza melibatkan 149 sekolah direkodkan.

Bagaimanapun katanya, tiada kelas mahupun sekolah di negeri itu ditutup buat masa ini.

Di Johor, kes influenza melibatkan pelajar kini direkodkan 109 kes.

Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan berkata, Johor Bahru merekodkan kes tertinggi dengan 46 kes, diikuti Batu Pahat (19) dan Kulai (16).



FMT

Influenza : Kerajaan tiada statistik rasmi



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker