Zuraida serah kepada peguam urus notis tuntutan maaf daripada Farhash

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan notis tuntutan yang dihantar Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung ucapannya pada majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara selepas kongres nasional PKR pada 8 Dis lalu.

“Saya bagi kepada peguam saya untuk uruskannya,” katanya ringkas pada sidang media di bilik media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada 1 Januari lalu, notis yang dilihat FMT itu, dibuat menerusi Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, mendakwa Zuraida membuat kenyataan berunsur fitnah, merosakkan dan tidak berasas terhadap Farhash.

Notis itu berkata beberapa bahagian dalam ucapan Zuraida itu membawa maksud Farhash seorang “gangster”, ada “niat jenayah” dan “agenda tersembunyi”, dan “menggunakan keganasan dan taktik menakut-nakutkan” untuk mencapai matlamat.



Farhash mahu Zuraida memohon maaf tanpa syarat dalam tempoh 7 hari bermula tarikh notis dikeluarkan, iaitu 23 Disember lalu, kerana ucapan yang mengandungi dakwaan tidak berasas terhadapnya.

Zuraida bagaimanapun berkata beliau menafikan menerima notis itu pada 23 Disember lalu.

Sebaliknya, katanya, beliau baru menerima notis itu pada 2 Januari lalu.

“Saya baru terima pada Khamis lalu, walaupun didakwa hantar pada 23 Disember lalu,” katanya.



Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata rancangan untuk beliau mengadakan jelajah “Wawasan Kemakmuran Bersama” ke seluruh negara akan bermula pada minggu pertama pada Februari ini.

Beliau berkata jelajah itu akan dimulakan dari Selangor dan selepas itu akan ke Sarawak.

“Semalam baru ada mesyuarat memandangkan Tahun Baru Cina nak dekat, jadi kita lihat macam kena tangguh.

“Rancangan asal nak buat seminggu sebelum Tahun Baru Cina. Tetapi kita kena tangguh,” katanya.



Zuraida juga berkata jelajah itu hanya akan tumpu kepada inisiatif kerajaan.

“Sebab kita kini nak gerak ke hadapan dalam usaha mengukuhkan kerajaan dan bukan bincang perkara itu (isu politik dalam PKR),” katanya ketika ditanya sama ada akan membincangkan mengenai masalah dalaman PKR seperti yang dilakukan pada majlis makan malam sebelum ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker