Rakyat Sakit Hati Dan Geram, PH Kerajaan Berlandaskan Fitnah Terancang (Video)

Share


Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan bahawa kerajaan kemenangan yang dikecapi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah kemenangan yang berlandaskan fitnah dan pembohongan yang dirancang.

“Kerajaan hari ini kerajaan yang menang atas fitnah yang zalim, pembohongan dan gagal memenuhi impian rakyat. Hari ini keadaan pentadbiran PH selama 18 bulan lagi teruk dari Barisan Nasional (BN), sebab itulah ramai rindu zaman BN.

“Kalau kalah Pilihan Raya itu adalah adat … menang atau kalah adalah adat, tapi rakyat hari ini sakit hati dan geram kerana pembohongan dan penipuan yang telah dilakukan oleh PH.

“Kerajaan hari ini tidak nampak apa-apa yang dapat membantu rakyat malah menyusahkan rakyat, hari ini rakyat semakin hari semakin susah. Siapa kata rakyat hari ini lebih senang… antara zaman PH dan zaman BN, mana yang lebih baik?” katanya dalam ucapan Muafakat Nasional Penyatuan Ummah di Kampung Sawah, Khamis malam tadi.

Hadir sama Penasihat UMNO, YM Tengku Razaleigh Hamzah; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi PAS Johor, Abdullah Husin; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah; Sekteriat Penyatuan Ummah Muafakat Nasional, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Kepimpinan UMNO, PAS, Makkal Sakti, Kimma dan juga masyarakat setempat.

Menurut Penasihat BN ini lagi, Muafakat Nasional yang dilaksanakan hari ini adalah suatu hikmah dan akan mengubah lanskap politik tanah air.

“Muafakat ini mesti dilihat dari minda yang lebih luas dan menunjukkan bahawa Islam itu universal dan dihormati oleh yang bukan Islam.

“Ini adalah ujian terbesar dan jangan tengok dari segi sempit sahaja, jangan fikir orang Islam sahaja, kena fikir kemajmukan dan mesti memaparkan Islam ini sebagai agama universal, prinsip-prinsip yang boleh disanjung oleh bukan Islam. Ini keuntungan untuk kita.

“Insya Allah… Tanjung Piai ini selangkah kita ke Putrajaya. Kita tidak akan berdiam diri dan kita akan aplikasikan konsep Muafakat Nasional di bawah UMNO dan PAS.”

Ujarnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bukan semangat Dr Wee Jeck Seng semata-mata, bukan kemenangan MCA atau BN tapi kemenangan Muafakat Nasional sementara Islam itu sebagai agama yang tinggi dan prinsip nilainya boleh diterima semua orang.

Dalam ceramah Muafakat Nasional ini hampir 12 ribu pengunjung memenuhi padang terbuka yang diadakan bersempena kempen PRK Tanjung Piai.- UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *