Belanjawan 2020: Pengkhianatan kepada kaum India – Naib presiden MIC

Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng merupakan satu lagi pengkhianatan Kerajaan Pakatan Harapan kepada kaum India.

Demikian kata Naib Presiden MIC, C Sivarraajh yang menyifatkan kaum India seolah-olah telah dianaktirikan dalam belanjawan tersebut.

“Secara umumnya, terdapat tiga peruntukan utama yang telah dikhaskan untuk masyarakat India dalam belanjawan tersebut.

“Jumlah tersebut amatlah rendah jika dibandingkan dengan jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan BN sebelum ini bagi tujuan yang sama,” katanya dalam kenyataan media, selepas kerajaan PH membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat, semalam.



Menurutnya, dalam Belanjawan 2017, Kerajaan BN telah memperuntukkan hampir RM260 Juta.

Jelasnya lagi, daripada jumlah itu, RM50 juta disediakan bagi program peningkatan kapasiti dan pendapatan, RM150 juta untuk program pembiayaan perniagaan melalui Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia, RM50 juta untuk menambah baik dan penyelengaraan sekolah Tamil dan RM10 juta untuk memperluas kan program pra-sekolah di 50 sekolah Tamil.

“Jumlah peruntukan ditambah pada Belanjawan 2018 termasuk skim pinjaman pelaburan khas kepada golongan B40 masyarakat India,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, masyarakat India di peruntukkan RM170 juta, termasuk pembiayaan Tekun Nasional RM20 juta, pembangunan sekolah Tamil RM50 juta, dan RM100 di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).



Sivarraajh turut mempertikaikan menteri bertanggung jawab hal ehwal masyarakat India, P Waythamoorthy yang menyatakan bahawa kerajaan PH akan mewujudkan peruntukan khas pembangunan sosio ekonomi kaum India bernilai RM4 bilion bagi tempoh 10 tahun di Dewan Negara pada 29 Ogos 2018.

“Apa terjadi dengan dana tersebut?”

“Jika sebelum ini pemimpin-pemimpin India PH sering melaungkan kerajaan BN telah mengkhianati masyarakat India, hari ini terbukti bahawa yang sebenarnya mengkhianati masyarakat India adalah kerajaan PH sendiri.

“Namun hakikatnya mereka (PH) telah mengkhianati kepercayaan masyarakat India melalui Belanjawan 2020 yang tidak langsung mencerminkan sebarang komitmen dalam membangunkan masyarakat India,” tambahnya lagi.



Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker