#HPU914 : Penyatuan ummah penuhi hasrat Nik Aziz – Tuan Ibrahim

Penyatuan ummah antara UMNO dan PAS yang bakal dimeterai esok didakwa memenuhi kehendak dan hasrat Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering dinyatakan ketika hayat bekas Mursyidul Am PAS itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bekas Menteri Besar Kelantan itu sering kali menyuarakan pandangan supaya pemimpin mencari jalan bagi menyatukan umat Islam di negara ini.

“Andai Almarhum Tok Guru Nik Aziz masih ada, saya sangat mengenali beliau dari kecil sampai tua, yang kebetulan bapa saudara (saya), beliau sering kali menyebut soal perlunya umat Islam mencari jalan untuk menyatukan umat Islam, kena cari jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam ini.



Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tuan Ibrahim berkata, penyatuan ummah antara UMNO dan PAS, dua parti yang mempunyai roh dan jiwa umat Islam yang mempunyai titik persefahaman bakal melakar sejarah politik negara.

Katanya, persefahaman yang akan terjalin bukan semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya kedua-dua parti tekad untuk menjayakan himpunan umah sehingga akhir zaman hingga mendapat keredaan Allah.

Beliau turut menegaskan isu pembahagian kerusi yang didakwa musuh politik bakal memecahkan kesatuan antara PAS dan UMNO bukan masalah kepada kedua-dua parti itu.



“Ada yang kata muafakat PAS dan UMNO tidak boleh tahan lama, kami saf pimpinan bertekad, apa sahaja masalah, kita akan urus dengan hormat menghormati antara satu sama lain dan bertekad jangan ada elemen yang memecahkan muafakat ini,” katanya.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker