#HPU914 : Penyatuan Ummah Kerana Sayangkan Negara… Jangan Biar PH Robek Keamanan – Asyraf Wajdi

Share


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa negara ini adalah negara majmuk yang sepanjang 61 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini aman, stabil dan harmoni maka jangan biarkan Pakatan Harapan (PH) merobek apa yang telah terbina.

Lantaran itu katanya, pada hari ini Himpunan Peryatuan Ummah (#HPU914) dilakukan yang bertujuan untuk manifestasi dan kasih sayang pada negara.

“Jangan kita sesekali menjadi seperti kerajaan PH, baru naik setahun lebih jadi kerajaan dah naik tocang. Mereka lupa daratan, mereka nak merobek akar-akar yang telah berjaya kita kukuhkan dan tiada siapa dapat menafikan apa yang telah kita bina dalam negara ini.

“Kita hadir hari ini dan esok kerana kita sayangkan negara kita, kita nak selamatkan negara kita, negara kita yang asal dan bukan negara Malaysia Baru yang haru-biru. Kita nak kembangkan Malaysia yang asli yang mana keindukan dipertahankan dan dihormati,” katanya yang bercakap semasa sesi ‘Town Hall’ Anak Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Jelasnya, induk yang dimaksudkan adalah tunjang negara yang berperlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi tetapi tidak menafikan agama-agama lain serta juga kaum-kaum lain.

“Janganlah cuba menggangu-gugat, jangan memperlekehkan kedudukan Islam dan orang–orang Melayu… ini sudah terpatri padu dalam Perlembagaan.

“Kita tidak akan meninggalkan identiti Malaysia tetapi pada masa sama asas Islam, Melayu dan Bumiputra harus kita perkukuhkan.” ujarnya.

Terdahulu menurut Ketua Pemuda PAS Pusat Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, janganlah buat demonstrasi seperti di negara Thailand yang rakyatnya mahu menjatuhkan kerajaannya.

“Perjuangan kita ini adalah perjuangan yang terhormat dan hendaklah bersatu menumbangkan PH. Kita mahu masuk Putrajaya dengan cara terhormat seperti PH masuk ke Putrajaya. Kita melaksanakan pendekatan politik secara aman dan pastinya perjuangan itu panjang.

“Kalau mengganggap penyatuan ummah ini berteraskan agama sudah pastinya mengikut sunnah Rasulullah SAW… perjuangan ini pasti panjang dan sukar,” katanya.

Tambahnya lagi piagam dan penyatuan ini akan diuji oleh Allah SWT dalam setiap detik, waktu dan sudut.

“Justeru dalam penyatuan ummah ini haruslah ada keikhlasan. Sekiranya piagam ini tidak menyenangkan dan memperjuangkan hati umat Islam dan sekiranya ia hanya skop Melayu sahaja, saya cadangkan buat demo di pejabat PAS Pusat dan pejabat UMNO, tegur kami dan betulkan kami.

“Perjuangan kita dimulakan langkah yang sumbang kita akan memimpin dalam keadaan yang sumbang sepertimana kerajaan PH yang memerintah sekarang,” ujarnya lagi –UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *