Bekas Bendahari PKR Perlis pula keluar parti

Krisis terhadap pucuk kepimpinan PKR Perlis terus memuncak apabila terbaharu, bekas Bendahari Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Zulhaimi Khalib pula mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta-merta hari ini.

Malah, Zulhalmi turut memaklumkan lebih 100 orang ahli bakal mengikut jejak langkah sama dalam tempoh terdekat selepas kecewa dengan sikap kepimpinan parti itu terutama Pengerusi MPN PKR negeri, Amran Kamarudin yang disifatkan beliau gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Zulhalmi yang melepaskan jawatan sebagai Bendahari PKR negeri Julai lalu mendakwa, Amran dilihat gagal membela nasib ahli selain diselubungi dengan pelbagai masalah.

Sehubungan itu, beliau berharap, PKR pusat segera mengambil tindakan terhadap pucuk pimpinan parti tersebur sebelum lebih ramai pemimpin mengambil langkah meninggalkan parti.



“Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Izhar Sudin sudah melepaskan jawatan dan diikuti oleh Setiausaha dan sekarang, saya sendiri.

“Kami kecewa kerana pengerusi (Amran) sering membuat keputusan dan membuat pelantikan tanpa berbincang dengan barisan kepimpinan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Isnin lalu, bekas Setiausaha PKR negeri, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim mengumumkan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR Perlis.

Bagaimanapun, Amran ketika mengulas kemelut berkenaan menafikan wujudnya perpecahan dalaman melibatkan kepimpinan parti itu.



Sebaliknya kata Ketua Cabang PKR Padang Besar itu, suasana di dalam PKR Perlis masih harmoni dan menjadi kebiasaan hanya segelintir pihak sahaja tidak berpuas hati.

Semalam, bekas Setiausaha Cabang PKR Padang Besar, Hamidon Darus mendedahkan bahawa seramai 12 orang Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Padang Besar termasuk timbalan serta naib ketua cabang yang menang dalam pemilihan parti itu baru-baru ini telah hilang kepercayaan terhadap Amran.

Sementara itu, Zulhalmi memberitahu, sepanjang menjadi bendahari, beliau melihat pelbagai keraguan yang timbul khususnya daripada segi penyaluran peruntukan daripada PKR pusat.

“Meskipun menjadi bendahari sebelum ini, saya tidak pernah tahu wang keluar masuk malah apabila diajak melakukan penukaran penama pemegang amanah akaun bank PKR Perlis, pengerusi sering melengah-lengahkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker