Bolehkah beri zakat kepada anak yatim?

PERLU diketahui bahawa zakat itu harus diagihkan kepada golongan yang ditetapkan oleh syarak berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya dan mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah: 60)

Berdasarkan ayat ini, jelas siapakah yang layak untuk menerima zakat. Mereka itu adalah daripada:

1- Fakir

2- Miskin

3- Amil zakat

4- Mualaf

5- Riqab

6- Gharimin

7- Fi sabilillah

8- Ibn sabil

Maka jelas bahawa anak yatim tidak termasuk dalam golongan mereka yang diberikan zakat. Ini bermakna semata-mata seseorang itu menjadi yatim piatu tidak menjadikan dia seorang penerima zakat.

Namun, sekiranya anak yatim itu adalah seorang yang fakir atau miskin, maka dalam keadaan ini, anak yatim tersebut boleh menerima zakat.

Adapun ingin memberikan zakat terus ke rumah anak yatim, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu sama ada rumah anak yatim itu menempatkan anak-anak yatim yang fakir dan miskin ataupun sebaliknya.

Sekiranya menempatkan anak yatim yang fakir miskin, maka dibolehkan untuk memberikan zakat kepada rumah anak yatim tersebut untuk diagihkan mengikut asnaf zakat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Zakat itu perlulah dibelanjakan untuk urusan makan, minum, pembelajaran serta keperluan harian lain bagi anak yatim tersebut.

Bagi urusan pembangunan rumah anak yatim, terdapat juga pendapat agar duit daripada infaq atau sedekah jariah digunakan dan bukannya daripada duit zakat kerana membina bangunan tidak termasuk dalam asnaf zakat.

Oleh yang demikian, orang ramai disarankan agar menghubungi pejabat yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat sewajarnya, selain mencadangkan agar pembayaran zakat dibuat kepada pusat zakat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker