Pelabur asing jual RM1.04 bilion minggu lalu, Bursa jatuh di bawah paras 1600 mata.

Jualan asing bagi saham tempatan di Bursa Malaysia meningkat kepada RM1.04 bilion minggu lalu, berbanding RM601.2 juta ­minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd. Research mendapati, penjualan itu merupakan aliran keluar bersih dana asing mingguan terbesar dalam tempoh 12 minggu.

Penganalisis MIDF Research, Adam M Rahim berkata, penjualan bersih asing memuncak pada Isnin apabila pelabur menjual sebanyak RM357 juta, jualan harian terbesar sejak awal Mei lalu.

“Sentimen sebahagiannya dijejaskan oleh tindak balas China terhadap ancaman tarif terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan membiarkan yuan jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih daripada sedekad.



“Bagai­manapun, ­aliran keluar bersih asing yang tinggi pada hari itu adalah sejajar dengan bursa serantau lain,” katanya dalam laporan ­aliran dana mingguan di sini hari ini.

Paras penjualan bersih ­asing mengecil kepada RM219.9 juta pada Selasa. Tindakan China mengehadkan penurunan yuan mengembalikan keyakinan pelabur.

Adam berkata, paras aliran keluar bersih asing kembali me­ningkat kepada RM269.5 juta susulan pengumuman mengejutkan pemotongan kadar faedah bank-bank pusat Asia Pasifik termasuk New Zealand, Thailand dan India bagi mengimbangi risiko ekonomi global.

Jelasnya, keyakinan kembali ke pasaran pada Khamis apabila penjualan bersih ­asing susut kepada RM30.7 juta di tengah-tengah ‘lampu hijau’ diberikan oleh Jepun untuk membenarkan eksport bahan pembuatan semikonduktor ke Korea Selatan.



Bagaimanapun, kata­nya nada positif itu berakhir pada hari berikutnya apabila pelabur asing menjual sebanyak RM158.1 juta apabila AS menghentikan sementara keputusan membenarkan syarikat negara itu memulakan semula perniagaan bersama Huawei Technologies Co.

“Aliran keluar bersih ­asing yang besar minggu lalu menjadikan jumlah aliran keluar dari Malaysia setakat ini mencecah RM6.01 bilion.

“Ini adalah kira-kira 51 peratus daripada aliran keluar bersih asing pada tahun lalu,” katanya.

Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,600 mata

Indeks FBM KLCI menjunam kembali di bawah tahap sokongan 1,600 mata selepas kali terakhir ditutup pada 1,598.32 mata pada 27 Mei lepas.



Semalam, Bursa Malaysia susut 22.17 mata kepada 1,592.88 mata selepas berlegar antara 1,591.29 hingga 1,615.24 mata.

Pasaran menyaksikan kaun­ter rugi mengatasi untung pada 744 berbanding 173 dengan 276 kaunter tidak berubah.

Penganalisis Kanan di Malacca Securities Sdn. Bhd., Kenneth Leong berkata, pihaknya menjangkakan ketegangan politik yang memuncak di Hong Kong serta perang dagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan menyebabkan kelemahan dalam pasaran.

“Kelemahan mata wang domestik turut mendorong dana asing tidak memasuki ekuiti tempatan. Setakat Jumaat lalu, sebanyak RM6.01 bilion dana asing telah keluar dari pasaran ekuiti negara.



“Sekiranya paras ringgit melepasi RM4.20 berbanding dolar AS, maka kami menjangkakan ringgit akan terus merosot sehingga paras RM4.30,” katanya.

Sementara itu, nota kajian CGS-CIMB pada 9 Ogos menyatakan bahawa pelabur tempatan berhati-hati dengan pasaran dan mereka menunggu corak potensi tema perdagangan untuk separuh kedua tahun ini.

“Antara lima tema yang dibentangkan untuk separuh kedua 2019, para pelabur lebih cen­derung kepada pulangan dividen serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” katanya.

Firma penyelidikan itu juga berkata, tiada dorongan utama daripada para pelabur ke atas sasaran KLCI untuk 1,596 mata menjelang hujung tahun ini meskipun ada antara pelabur bimbang terhadap potensi pendapatan yang terjejas daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR), perang dagangan dan semakan semula dasar.



“Mereka bimbang akan prestasi korporat Malaysia yang lemah, reformasi dasar yang berterusan selain isu peralihan kepemimpinan negara,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker