Ringgit semakin lemah, di mana slogan ‘Najib turun, RM naik’?

Share


Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan slogan ‘Najib turun, ringgit naik’ yang menjadi propaganda utama Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu nyata tidak menunjukkan hasil.

Beliau berkata, meskipun sudah tidak menjadi Perdana Menteri, namun kedudukan mata wang negara terus jatuh sekitar lima peratus berbanding mata wang Baht dari Thailand hari ini.

“Saya masih ingat pada Januari lalu, saya yang menimbulkan bahawa Ringgit Malaysia (RM) telah jatuh teruk berbanding mata wang Baht selepas PRU-14.

“Masa itu, RM juga telah jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah berbanding Baht dan saya mahu bertanya apa jadi dengan laungan ‘Najib turun, Ringgit naik’,” soalnya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Pada Februari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan nilai ringgit berbanding baht pada masa ini didakwa dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Mengulas lanjut, Najib berkata, pada ketika itu, Dr. Mahathir memberitahu kedudukan RM tidak jatuh tetapi mata wang AS yang naik dengan menyalahkan Trump.

“Pasa masa itu, Perdana Menteri ke-tujuh beri alasan ini salah Trump dan bukan lagi salah Najib.

“Oleh itu, sekali lagi saya nak tanya apa terjadi dengan slogan ‘Najib turun, Ringgit naik’ kerana isu ini adalah antara propaganda utama PH sebelum PRU-14.

“Najib dah turun 15 bulan, RM dah naik belum? Ataupun slogan perlu ditukar menjadi (Menteri Kewangan ) Lim Guan Eng turun, ringgit naik,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *