Kumpulan pro-Anwar mahu tetap tarikh untuk Dr M berundur

Kumpulan pro-Anwar Ibrahim akan menetapkan tarikh untuk Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri kepada presiden PKR itu kerana mendakwa beliau tiada pendirian tetap untuk berundur.

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, tarikh itu akan ditetapkan dalam tempoh seminggu.

“Sidang media sebelum ini kami minta Mahathir letak tarikh bila beliau nak serah dan dia tidak letak satu tarikh nak lepas jawatan kepada Anwar.

“Kami sendiri akan letak tarikh untuk beliau, sama ada awal Januari 2020 atau Mei 2020, cukup 2 tahun, setuju atau tidak setuju, itu pandangan kami.



“Memandangkan Mahathir ding dong ding dong nak serah kepada Anwar, kami tengok pendirian beliau sekarang lain macam, sekejap mengadakan perbincangan dengan PAS, bincang dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya kepada FMT hari ini.

Razak mengakui tiada perjanjian rasmi untuk Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas 2 tahun, tetapi katanya, pengerusi PPBM itu perlu mengotakan janjinya kepada Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Sebelum PRU, tiada perjanjian hitam putih nak serah jawatan kepada Anwar sebab mereka sendiri tidak yakin boleh menang. Mahathir sendiri pernah cakap beliau tidak percaya boleh menang sebab itu banyak manifesto gagal dilaksana.”

Razak turut membidas Adun PPBM Selangor yang menyokong Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal 5 tahun kerana mereka hanya sebilangan kecil wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri.



“Mereka (PPBM) punya kerusi di Selangor kurang dari 5, (hanya) ada 4, mereka ada kerusi yang kecil daripada 56 kerusi DUN, macam mana dia boleh kata separuh Adun setuju Mahathir berkhidmat sampai akhir penggal?

“Mereka kena cermin muka sendiri. Kamu tak bertanya Adun DAP setuju ke tidak atau PKR setuju ke tidak sebab maklumat saya dapat lain, yang sokong Mahathir kekal hanya kumpulan pro-Azmin Ali saja.”

Rabu lalu, sekumpulan Adun PPBM Selangor mengikut jejak Timbalan Presiden PKR, Azmin bersama Umno dan PAS, menyuarakan sokongan kepada Mahathir menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Tetapi, Mahathir pada Khamis lalu dilaporkan berkata, beliau akan tetap mengotakan janjinya untuk memberi laluan kepada Anwar, walaupun ada permintaan untuk beliau terus menerajui negara sehingga habis penggal 5 tahun.



Katanya, beliau akan melepaskan jawatan itu apabila diyakini Malaysia dalam keadaan baik dan stabil.

Razak turut menegur segelintir pemimpin PH yang didakwa mengubah pendirian dan tidak berani mendesak Mahathir menyerahkan jawatan kepada Anwar, selepas mereka mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Itu masalah mereka ini, sebelum ada jawatan dia setuju, tapi sekarang bila dah jadi menteri, timbalan menteri lain pula pendirian, sebab yang melantik mereka adalah perdana menteri.

“Sebagai contoh, sabelum ini kita lawan habis-habisan isu Lynas, tapi sekarang katanya nak lanjut permit operasi, apa makna sebelum ini kita lawan adalah sekadar nak menang pilihan raya umum?



“(Ahli Parlimen Kuantan) Fuziah Salleh, dulu semangat kuat bantah Lynas, sekarang bila dah jadi timbalan menteri sudah jadi tikus, tidak boleh buka mulut.”

Pengguna Facebook hari ini membidas Fuziah dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack susulan keputusan kerajaan tidak mewajibkan Lynas menghantarkan sisa radioaktifnya ke negara lain untuk memperbaharui lesennya.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin hari ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan keputusan berhubung pembaharuan lesen operasi kilang Lynas selewat-lewatnya 15 Ogos ini dan sama ada pembuangan sisa radioaktifnya perlu dihantar ke Australia.

FMT



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker