UNTUNG SECUPAK RUGI SEGANTANG – NAJIB

KUALA LUMPUR 27 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik keputusan kerajaan menyerahkan pembinaan empat kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada syarikat China, walaupun kononnya boleh memberi penjimatan sebanyak RM122 juta.

Najib malah menyifatkan tindakan yang dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan persetujuan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu sebagai berfikiran sempit dan tidak berpandangan jauh.
Hal demikian kerana, menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu telah berunding dan bersetuju bahawa dua buah kapal akan dibina di Malaysia oleh Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Boustead Holdings Bhd (BHB) milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jelas Najib, keputusan untuk membina dua kapal di Malaysia akan memberi manfaat lebih besar termasuk pekerjaan kepada anak tempatan, perpindahan teknologi dan kemahiran serta tidak perlu lagi bergantung kepada negara luar.

“Tak bayar begitu banyak kepada pihak asing lain kali. Tak perlu semua bergantung kepada China. Syarikat Boustead (BHB) dapat keuntungan dan membayar dividen kepada LTAT. LTAT pula boleh bayar dividen kepada ahli-ahli.



“Ada limpahan ekonomi dan kitaran wang dalam negara kita yang berkali-kali ganda lebih besar berbanding RM122 juta yang kononnya dijimat. Sekarang limpahan ekonomi dan kitaran wang semua ada di China,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Mohamad dalam Sidang Dewan Rakyat baru-baru memberitahu, keputusan kerajaan membina kesemua empat LMS di China telah berjaya menjimatkan sebanyak RM122 juta susulan perbincangan antara Menteri Pertahanan itu dengan Kementerian Kewangan.

Kontrak asal pembelian LMS bernilai RM1.17 bilion sepatutnya menyaksikan dua kapal dibina oleh syarikat tempatan iaitu Boustead Naval Shipyard manakala dua lagi dibina di China oleh China Shipbuilding & Offshore International Company (CSOC).

Dalam pada itu, Najib secara sinis turut mengatakan langkah yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuatkan China bergelak ketawa.



“Pandai apa Mat Sabu (Mohamad) dengan Menteri Kewayangan (Guan Eng) itu? Takkan benda-benda mudah macam ini pun dia tak tahu?,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker