Mujahid jangan lupa diri

byMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof perlu menegur mana-mana pihak yang tersalah langkah, bukannya ghairah mempertahankan sekutu dalam politik tanpa memikirkan sempadan dan sensitiviti agama.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebagai Menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama, Mujahid sepatutnya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan merujuk kepada pihak yang lebih tahu.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, selain perkara yang melibatkan hukum, aspek sensitiviti agama juga wajib diambil berat kerana tanpanya segala batasan akan dilanggar.

“Mujahid kena lebih cermat dan jangan terlalu ghairah nak dapat sokongan dan keuntungan politik sehingga lupa diri dan sempadan.



“Kita bukan nak bergaduh dengan orang bukan Islam, dari segi hubungan dengan orang bukan Islam memang kita kena jaga, tetapi kena ada sempadan, ada sensitiviti, contoh bila orang bukan Islam sampaikan zakat, itu menyentuh sensitiviti.

“Hukum satu hal, tapi sensitiviti perlu diambil kira, sebab kita bimbang pada suatu masa orang Islam akan hilang sensitiviti agama, jadi ini akan rosakkan agama, antara sebab rosak agama Kristian adalah kerana mereka hilang sensitiviti, semuanya nak terlalu terbuka, liberal, sampai hilang sempadan,” katanya.

Beliau berkata demkian selepas menerima kunjungan imam tarawih dari Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Abdul Latif Al Mahmud di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd Amar diminta mengulas tindakan Mujahid yang mempertahankan majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir di Gudwara Shaib pada minggu lalu dan menyifatkannya sebagai tidak salah.



Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, cara yang ditunjukkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menjaga hubungan antara agama yang sepatutnya dicontohi.

“Kalau mahu hubungan rapat patut buat macam Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Almarhum (Nik Abdul Aziz) tidak pernah berbuka puasa di tempat ibadah orang bukan Islam sebaliknya (arwah) mengajak mereka yang datang berbuka di tempat kita seperti Madinah Ramadan, dewan dan lain-lain.

“Pada pandangan saya, berdasarkan apa saya belajar, puasa ini ibadat, ibadat tidak sepatutnya dibuat di tempat tidak sesuai, kita tidak sepatutnya pergi menunaikan ibadat di rumah ibadat bukan Islam,”katanya. UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker