Ancaman fenomena pluralism

oleh Ab Jalil Backer

Ramadhan kali menyaksikan fenomena liberalisme dan pluralisme Islam yang agak membimbangkan.
Liberal secara literasi membawa konotasi yang positif iaitu berfikiran terbuka, bebas, demokratik, pluralisme dan rasional.

Namun Islam liberal merujuk kepada kumpulan manusia yang giat memperkenalkan persamaan sejagat antara agama (pluralisme) sehingga tidak lagi dapat membezakan antara kebaikan sejagat dan tuntutan khusus agama.

Islam adalah agama yang penuh kasih sayang antara manusia walaupun berbeza agama dan warna kulit, namun ia mempunyai had dan ketertiban tertentu.



Mungkin agak kasar, namun saya melihat sepanjang Ramdahan ini ada usaha “melacurkan” ibadah Islam bagi memberi gambaran bahawa kerajaan ini lebih terbuka dan sama rata kepada semua agama.

Di Pulau Pinang sudah dibenarkan pemimpin bukan Islam menyampaikan bantuan zakat kepada umat Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam mempertahankan tindakan Baitumal Pulau Pinang itu menghukum “harus” bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf Islam.

Pandangan beliau tidak diiringi sebarang nas al-quran dan Sunnah, atau ijtihad para sahabat dan ulama-ulama terdahulu.



Memang tiada dalil jelas larangan perilaku ini. Namun zakat merupakan satu kerja ibadah khusus yang disebut berpuluh kali dalam al-Quran. Banyak kali kewajipan zakat ini diletakkan setara dengan solat.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur 24:56, “Dan tunaikanlah solat dan laksanakanlah zakat; serta taatilah Rasul; nescaya kamu beroleh rahmat” dan; Surah Al-Baqarah 2:43, “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Ulama-ulama muktabar terdahulu banyak berbincang mengenai kadar zakat, penerimanya dan pembahagian asnaf.

Imam syafie menegaskan pemberian zakat hanyalah kepada orang Islam. Manakala imam-imam mazhab lain ada yang berpandangan sebahagian kecil zakat boleh diberikan kepada bukan Islam yang mahu belajar mengenai Islam.



Adalah mudah untuk memahami mengapa tiada perbahasan dalam mewakilkan orang bukan Islam mengagihkan zakat. Ini kerana tidak pernah terjangkau dalam pemikiran mereka bahawa ada orang Islam sanggup membenarkan ia terjadi demi politik dan kuasa.

Apakah semua orang Islam sudah kudung tangan sehingga terpaksa menggunakan bukan Islam untuk melaksanakan perintah Allah ini?

Malah Ramadhan kali ini telah dijadikan pesta untuk menunjukkan pemimpin bukan Islam dari DAP terkehadapan memberi bantuan dan sumbangan kepada orang Islam, masjid dan surau.

Ramadhan adalah bulan untuk umat islam beribadah puasa dan sedekah. Namun yang terjadi, kita menerima sedekah dan bantuan dari bukan Islam.



Lebih menyedihkan, ada ahli politik bukan Islam yang menyampaikan bantuan wang kerajaan mendabik dada di media sosial bahawa beliau seorang yang prihatin kepada orang Islam.

Merempat sangatkah orang Islam di negara ini?

Tidak cukup itu, acara berbuka puasa sudah menjadi pesta makan mengaitkan dengan agama-agama lain atas nama muhibbah dan persaudaraan antara agama.

Ada wakil rakyat muslim menganjurkan majlis sambutan Hari Wesak bersama majlis berbuka puasa. Wesak adalah hari keagamaan penganut Buddha, ia tidak harus bercampur dengan majlis berbuka puasa yang merupakan ibadah dalam agama Islam.



Ada pula wakil rakyat muslim mengadakan majlis berbuka puasa di kuil Sikh seolah-olah ada kekangan tempat dan ruang untuk mengadakan majlis ibadah kita.

Saya ingin ingatkan bahawa menyatukan kepercayaan agama lain dengan ibadah Islam sangat merbahaya dan jika tidak berhati-hati boleh menjurumus kepada syirik.

Orang Islam yang berbangga berbuka puasa di Gereja, Kuil, dan rumah ibadat agama lain perlu bertanya kepada diri sendiri – anda sedang membesarkan syiar Islam atau memalukan agama sendiri dengan perlakuan sedemikian.

Malah orang bukan Islam yang waras dan rasional juga akan kehairanan mengapa orang Islam di negara ini memerlukan bantuan bukan Islam untuk menyampaikan zakat atau berbuka puasa di rumah ibadat mereka.



Zakat dan puasa adalah ibadah khusus yang diarahkan oleh Allah s.w.t kepada muslim. Oleh kerana ia ibadah khusus maka etika dan ketertiban itu perlu ada. Ingatlah firman Allah,

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. (Surah Al-kafirun 109:1-6)

Banyak persamaan antara penganut agama kita boleh buat seperti saling membantu dalam ekonomi, kehidupan sosial, perayaan budaya, majis jamuan biasa, perkongsian idea dan persahabatan.

Selamat hari raya, maaf zahir batin. Semoga Allah menerima semua ibadah kita pada bulan Ramadhan ini.

*Sebahagian artikel ini tersiar dalam Sinar Harian 3hb Jun 2019 (https://www.sinarharian.com.my/article/31195/KOLUMNIS/Ancaman-fenomena-pluralisme)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker