Latheefa Koya ketua baru SPRM

Peguam dan Pengarah Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Latheefa Beebi Koya, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan kepada media, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal.

Kata PMO pelantikan Latheefa sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

PMO menyatakan Agong memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau.

Tempoh perkhidmatan Mohd Shukri sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.

Kata PMO keputusan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Untuk rekod Mohd Shukri dilantik mengetuai agensi antirasuah itu sejurus selepas PH berjaya mengetepikan BN sebagai kerajaan persekutuan pada Mei tahun lalu.

Proses reformasi institusi

Pengumuman mengenainya dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 17 Mei 2018.

Mohd Shukri menggantikan Dzulkifli Ahmad yang menamatkan perkhidmatannya tidak lama sebelum itu untuk kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Mohd Shukri bukanlah asing kepada SPRM kerana sebelum ini beliau berkhidmat sebagai salah seorang pegawai paling kanan di agensi berkenaan.

Bagaimanapun beliau bersara pada pertengahan 2016 ketika skandal 1MDB membabitkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, semakin panas.

Sejurus selepas dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri menceritakan pengalamannya dituduh sebagai pembelot kepada negara sedangkan, katanya, mereka ketika itu sedang berjuang untuk mendapatkan semula “duit yang dicuri daripada rakyat Malaysia”.

Menurut PMO pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada langkah pembaharuan penting dibuat Putrajaya untuk mereformasi institusi kerajaan.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mohd Shukri yang banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” kata kenyataan itu.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker