Prof Khoo Kay Kim rakyat Malaysia sejati – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi ini sebagai kehilangan besar kepada negara disebabkan sumbangan tidak ternilai sebagai sejarawan dan rakyat Malaysia sejati.

Ahli Parlimen Pekan itu yang mengenang jasa Kay Kim membantu merangka Rukun Negara turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang Kay Kim. Pemergiannya satu kehilangan besar kepada kita. Sejarawan terbaik dan rakyat Malaysia sejati. Tan Sri Khoo akan dikenang kerana sumbangannya kepada negara yang kita cintai ini terutama sebagai satu daripada individu penting yang membantu merangka Rukun Negara.

“Beliau juga mempunyai minat mendalam dalam bola sepak dan sering memberi buah fikiran bernilai kepada perkembangan skuad kebangsaan. Beliau akan dirindui. Semoga rohnya tenang,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.



Kay Kim, 82, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat masalah jantung hari ini.

Mendiang merupakan pensyarah Jabatan Sejarah di UM dan antara yang membantu menggubal Rukun Negara, meninggal dunia kira-kira pada pukul 10.45 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker