#PrkSandakan : Mat Hasan, Najib sedia gempur kubu DAP di Sandakan malam ini

Share

Selepas penampilan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Sandakan dua hari lepas, jentera Umno dilihat akan menggiatkan lagi kempen dengan menampilkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan bekas presiden Umno Najib Razak.

Mohamad atau Tok Mat dijadualkan tiba di Sandakan hari ini dan akan membuat penamipan dalam program ceramah di Bandar Letat Jaya pada pukul 9 malam.

Manakala Najib dijangka bertemu dengan penduduk-penduduk Sandakan di Giant Supermarket, IJM pada 4 petang, Jumaat ini, ketika perbicaraan kes mahkamah SRC International berehat.


Bung Moktar mengumumkan perkara itu kepada kira-kira 100 hadirin di Jambatan 3, Kampung Sim-Sim, semalam.

“Malam nanti (8 Mei), timbalan presiden (Mohamad) akan bertemu dengan jentera dan juga pengundi-pengundi Sandakan. Dengan adanya kehadiran timbalan presiden ini akan menambahkan keyakinan saya dan kekuatan kita untuk PBS menang dalam PRK Sandakan.

“Insya-Allah, kalau tiada halangan, ‘Bosku’ akan buat kerja dia. Mungkin dia akan datang ke Giant IJM, dia tiada permit, hanya jalan-jalan untuk beli barang. Tuan-tuan dan puan-puan boleh jumpa dia dan membeli-belah,” katanya sambil memaklumkan penampilan Najib pada 10 Mei, sehari sebelum hari pengundian PRK Sandakan.


“Kalau di Kuala Lumpur, ‘Bosku’ datang, secara automatik semua orang akan datang. Jadi kita buat di Sandakan, tak payah kita susunkan. Kita datang sendiri dan kumpul ramai-ramai supaya kita sokong ‘Bosku’,” tambahnya lagi.

Watak “Bosku” membuat penampilan kali pertama semasa kempen PRK Cameron Highlands. Watak berkenaan dilihat penampilan baru Najib untuk mendekati golongan rakyat bawahan.

Sejak kemunculan ‘Bosku’ juga, BN memenangi tiga PRK berturut-turut.


Bagaimanapun, bagi PRK Sandakan, BN tidak akan bertanding dan menyerahkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mewakili parti pembangkang.

Kebetulan, istilah “Bosku” dikatakan berasal dari Sabah yang digunakan sebagai panggilan tidak rasmi dalam kalangan rakan-rakan.

Namun, Najib dijangka tidak dapat menyumbang kepada kemenangan pembangkang di PRK Sandakan yang kerana parlimen itu merupakan kubu kuat DAP dengan 51 peratus pengundi berbangsa Cina.

Najib bagaimanapun dijangka memberi impak di kawasan Melayu (16 peratus pengundi) dan bumiputera Sabah beragama Islam (26 peratus).

Mkini

Leave a Reply