Sukarkan permohonan BSH untuk kurangkan penerima

Pemuda UMNO negeri mempersoalkan langkah kerajaan yang seolah-olah sengaja menyukarkan proses permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) sehingga mendapat rungutan pelbagai pihak.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya mendapat aduan tentang keperluan mengemukakan pelbagai jenis sijil dan ini termasuklah sijil nikah melibatkan pemohon warga emas.

Menurutnya, syarat yang meminta bukti pendapatan juga menyusahkan pemohon, lebih-lebih lagi penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sendiri dan tidak memiliki slip gaji.

“Bagi yang mahu mengisi secara dalam talian juga mendapati sistem yang digunakan tidak cekap, menyulitkan proses dan akhirnya mereka terpaksa bersesak-sesak ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengisi secara manual.



“Adakah kerajaan memang sengaja menyulitkan proses permohonan supaya jumlah pemohon berkurangan dan sekaligus menjimatkan duit kerajaan? Jikalau wujud walau setitik niat sebegitu, kerajaan sebegini amat zalim,” katanya di sini hari ini.

Permohonan bagi mendapatkan BSH telah dibuka kepada orang ramai mulai 1 Februari lalu sehingga 15 Mac ini.

Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda UMNO mendesak kerajaan agar mengkaji semula prosedur tersebut dan perlu membuka sebanyak ruang yang mungkin kepada seramai mana pemohon yang layak.

Menurutnya, kerajaan perlu mewujudkan skuad sukarelawan bagi membantu warga emas di kampung-kampung, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang jauh dari pekan untuk membuat permohonan.



“Wahai kerajaan Pakatan Harapan, belajarlah cara bagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diuruskan dan dipermudahkan.

“Untuk BR1M, proses borang boleh selesai di peringkat kampung sahaja. Kalau tidak tahu bagaimana mari Pemuda UMNO Kedah bagi tutorial,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker