UMNO DAN UTUSAN MANGSA MUSLIHAT AZIZ?

Membaca tulisan Johardy Ibrahim dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas (10 Februari 2019) berhubung penguasaan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Dato Aziz Sheikh Fadzir ke atas syarikat akhbar itu, agak memualkan. Johardy hanya mengambil jurus pandangan bagi mewajarkan langkah Aziz, yang mungkin juga atas arahan bosnya.

Mengapa tidak dikupas perihal kemungkinan berlakunya manipulasi yang dilakukan oleh Aziz sehingga membawa kepada penguasaan tersebut? Bukan rahsia bagaimana Aziz menggunakan strategi tertentu bagi menjatuhkan nilai saham Utusan sehingga begitu murah?

Dalam kaitan ini, beliau telah meletakkan Utusan dalam PN17 Bursa Malaysia melalui tindakannya enggan melunaskan hutang dua bank berjumlah lebih RM1 juta. Sedangkan pengurusan terdahulu (sebelum Aziz menyertai Utusan) telah mengambil keputusan untuk melangsaikan hutang tersebut.

Utusan sebenarnya masih berkemampuan untuk berbuat demikian dengan melupuskan aset tertentu dalam masa singkat. Namun Aziz memilih PN17 dengan tujuan mengelak Utusan diambil alih entiti dan individu yang lebih berwibawa.

Beliau telah meyakinkan Dato Seri Zahid Hamidi ketika menjadi Presiden dan kemudiannya Pemangku Presiden Dato Seri Mohamad Hasan agar tidak menjual dan memindah milik saham Utusan kepada pihak lain.

Sebelum pengambilan oleh Aziz, UMNO merupakan pemegang saham terbesar iaitu 49.7 peratus atau 55.11 juta saham. Kini UMNO menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam Utusan.

Persoalan lebih besar, Aziz bukan sahaja membeli dengan harga saham yang terlalu rendah iaitu RM6.65 juta bagi lebih 30.6 peratus saham, bahkan membayar pampasan VSS untuk 700 staf menggunakan aset Utusan.

Beliau juga memberi gambaran yang tidak tepat iaitu kononnya liabiliti Utusan lebih besar daripada aset secara keseluruhannya. Penilaian yang beliau war-warkan adalah bukan harga pasaan semasa yang dinamik.

Aziz juga tidak sedikitpun melihat potensi komersil Utusan masa depan terutama dari segi iklan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Utusan Online dan Kosmo selain penerbitan buku dan majalah.

Jika beban menanggung Utusan terlalu besar berbanding aset dan nilai potensi masa depannya, mengapa Aziz ghairah dan agresif mahu menguasai Utusan? Anehnya pengurusan UMNO tanpa menjalankan due diligence memberi kelulusan melepaskan penguasaannya kepada Aziz.

Dari segi tadbir urus korporat sebagai syarikat senaraian awam, adalah menghairankan bagaimana Aziz boleh meletakkan jawatan tetapi hadir beroperasi ke Utusan seperti biasa dan kemudian berjaya melobi dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif dalam masa terdekat. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Aziz turut menggambarkan kepada Ketua-Ketua Bahagian UMNO bahawa liabiliti yang ditanggung oleh Utusan begitu tinggi mencecah RM300 juta (hutang bank, creditors, pampasan pekerja dan statutory contribution) bagi menakut-nakutkan UMNO.

Tetapi jumlah liabiliti itu sengaja dibesar-besarkan dan ia bukan penilaian oleh pihak bebas. Lagipun hutang bank misalnya boleh dikurangkan. Ini boleh dilakukan melalui perbincangan dengan Corporate Debt Restructuring Comittee (CDRC) Bank Negara Malaysia.

Biasanya rundingan itu membuka ruang bank-bank memberikan diskaun ke atas hutang. Begitu juga dengan tuntutan hutang oleh beberapa pihak antaranya Rawdah Sdn Bhd, yang boleh terbatal dari segi undang-undang kerana ia meragukan dan boleh dicabar. Dengan kata lain, hutang Utusan akan lebih rendah sementara aset-aset Utusan boleh meningkat termasuk nilai sahamnya.

Tidak keterlaluan untuk mempercayai Aziz berkemungkinan telah melakukan maneuver mengambil alih Utusan dengan melakukan manipulasi dan menyalahgunakan kedudukannya bagi meraih kepentingan diri.

Jika dilihat secara mendalam, apa yang berlaku itu membuka ruang untuk Bursa Malaysia menjalankan siasatan terhadap sebarang kemungkinan berlakunya insider trading di bawah jenayah komersial.

Pada masa yang sama model bisnes Aziz bercelaru dan tidak meyakinkan. Beliau lebih galak mahu menjual aset berbanding menjana pendapatan baharu. Terbaru, beliau mahu memindahkan ibu pejabat Utusan ke pejabat majalah/kilang percetakan di Bangi. Maknanya bangunan ibu pejabat di Chan Sow Lin akan dijual begitu sahaja.

Johardy atas arahan Aziz boleh memberikan apa sahaja alasan tetapi pemegang saham dan ramai pencinta Utusan tidak mudah termakan. Johardy cuba menggambarkan seolah-olah langkah penguasaan Aziz kononnya dapat mengembalikan Utusan menjadi wadah kepada orang Melayu sepenuhnya.

Sejarah telah membuktikan penguasaan individu lebih mudah menjadikan akhbar alat untuk kepentingan diri. Malah sejarah Utusan sejak 1939 menyaksikan bagaimana akhbar itu sebelum diambilalih oleh UMNO (pada 1959) digunakan untuk menjaga kepentingan bangsawan dan keturunan tertentu.

Apakah selama berdekad-dekad selepas 1959, Utusan langsung tidak menjadi suara keramat untuk agama dan bangsa? Hakikatnya selepas diambilalih oleh UMNO pada waktu itu, perjuangan untuk agama dan bangsa lebih subur dan bernyala.

Sampailah sebelum Aziz menyertai Utusan, peranan Utusan membela agama dan bangsa begitu signifikan jauh mengatasi akhbar Sinar Harian yang dimiliki individu Islam dan Melayu. Jika Utusan kelihatan pro pemiliknya iaitu UMNO ia tidaklah sampai menjejaskan peranannya untuk Islam dan Melayu.

Maka keputusan UMNO melepaskan penguasaannya ke atas Utusan kepada Aziz adalah kesilapan besar. Jenama dan pengaruh Utusan masih kuat walaupun berdepan masalah kewangan. Akhbar lain juga bermasalah malah Malay Mail dan Tamil Nesan telah ditutup sementara The Sun milik Tan Sri Vincent Tan tenat dengan kerugian besar. The Star dan Media Prima turut melaksanakan VSS untuk kurangkan kos.

Jadi masalah Utusan adalah masalah industri tetapi kelihatannya Aziz berjaya membuatkan UMNO panik sehingga mengambil keputusan terburuk. Siapa yang mahu bertanggungjawab?

Sehari selepas pengumuman Aziz menguasai Utusan dengan pemilihan 36 peratus saham, ucapan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang biasa-biasa dan bosan dibaca menjadi tajuk berita utama. Sedangkan melimpah isu semasa yang menjadi perhatian umum seperti kes penipuan kelayakan akademik beberapa pemimpin Pakatan Harapan, lebih relevan kepada rakyat untuk disajikan muka depan.

Tetapi anehnya Utusan memilih ucapan Tun M mengenai jurang perbezan orang miskin dan kaya, yang sudah basi dan tiada nilai berita. Inikah Utusan era Aziz yang sepatutnya lebih berorientasikan rakyat?

Persoalannya selepas Aziz mengambilalih, Utusan semakin hilang bisanya. Para pembaca mengharapkan akhbar itu lantang dan kritis menentang salah guna kuasa, kepincangan, keangkuhan, penipuan dan mungkiri janji.

Malangnya Utusan memilih untuk lebih banyak membodek dan memuji-muji pemimpin Pakatan Harapan, yang tidak realistik dengan sentimen dan kekecewaan rakyat. Sudah tersebar cerita bagaimana Utusan kini telah diserapi pengaruh Pakatan Harapan termasuk pelantikan seorang Dato Seri bagi mengetuai anak syarikat.

Maka siapa sebenarnya di belakang Aziz? Ada yang kata kononnya Tan Sri Muhyiddin dan tauke-tauke tertentu tetapi entahlah tiada kepastian. Corak laporan dan pemberitaan juga tidak lagi berpasakkan agenda rakyat apatah lagi untuk agama dan bangsa.

Para pemimpin kerajaan Pakatan Harapan terutama DAP pastinya gembira dan senyum puas dengan perkembangan terbaru di Utusan. Banyak lagi perkara yang boleh didedahkan dan bakal terdedah.

Slogan Aziz dan pihak tertentu kononnya untuk menyelamatkan Utusan adalah untuk mengelabui mata ramai. Hakikatnya ia adalah lebih kepada agenda untuk komersil dan kekayaan peribadi.

Sekali lagi, siapa mahu bertanggungjawab atas muslihat Aziz?
Oleh Peminat Setia Utusan

sumber : https://www.editormalaysia.com/7841/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker