BN Wariskan Ekonomi Kukuh, Kedua Terbaik Di Asia Tapi PH Hancurkan – Tok Mat Hasan

Share


Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak bertanggungjawab dalam mengurustadbir ekonomi negara.

Hakikatnya kata Mohamad, kesuraman ekonomi negara kini adalah disebabkan kesan tindakan kerajaan PH yang menjaja ke seluruh dunia kononnya Malaysia akan bankrap serta memanipulasi hutang negara.

Walhal katanya, ekonomi negara ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) berkembang pesat serta diwariskan dalam keadaan yang amat baik.

“Padahal ekonomi negara kita berkembang pada tahun 2017, ekonomi kita ditutup bukunya pada Disember hampir enam peratus, negara kedua yang terbaik dalam Asia selepas negara tanah besar China.

“Macam mana nak katakan kita (kerajaan BN) tak uruskan ekonomi dengan baik.

“Tetapi inilah katanya negara nak bankrap, menjaja negara kita pergi ke Jepun, pergi ke China, tetapi lepas itu pula minta orang Jepun datang melabur ke negara kita.. balik dengan tangan kosong,” ujarnya.

Beliau berkata demkian dalam program ceramah Pentas Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, di Dataran Felda Sungai Koyan 1, di sini, malam tadi yang turut disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir, calon BN, Ramli Mohd Nor serta kepimpinan UMNO dan Pas sama ada di peringkat pusat mahupun negeri dan tempatan.

Ribuan rakyat sekitar kawasan Parlimen Cameron Highlands hadir ke ceramah perdana BN dan Pas itu yang bergabung di pentas yang sama.

Seterusnya, Mohamad yang pernah berkhidmat sebagai ahli majlis kewangan negara menjelaskan bahawa isu hutang sengaja dimanipulasi oleh kerajaan PH.

“Inilah masalahnya mengatakan hutang kita sampai RM1 trilion.. Tak pernah. Saya adalah ahli majlis kewangan negara, tak pernah nampak kita punya akaun (hutang RM1 trilion).

“Sebagai ahli gabungan badan Bangsa-bangsa Bersatu setiap enam bulan akaun kita akan diperiksa oleh badan-badan penarafan antarabangsa, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Bank Dunia dan mereka memperakui akaun kita.

“Tak pernah disebutpun hutang sampai RM1 trilion, mana datangnya? Dia mengambil tanggungan-tanggungan lain,” tegasnya.

Tanggungan lain tersebut jelas bekas ketua pengurusan tertinggi sebuah syarikat korporat itu adalah seperti bon-bon, surat hutang atau sukuk contohnya yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Maybank yang disokong oleh aset masing-masing.

“Ia dijual berasaskan aset yang kukuh dan kuat ‘balance sheet’ masing-masing, tiada kena-mengena dengan kerajaan tetapi ia dimasukkan (kerajaan PH) ke dalam akaun kerajaan Persekutuan sebagai tanggungan luar biasa.

“Dia kata kita punya aset tanggungan RM1 trilion, sebenarnya hutang adalah sebanyak RM685 bilion,” tekannya lagi.

Tetapi ujarnya, dalam masa yang sama kerajaan PH menyembunyikan perkara berkaitan wang rizab negara.

“Dia tidak pernah pula kata berapa kita punya rizab negara, rizab negara kita melebihi RM400 bilion.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita melebihi RM1 trilion, jadi kita tidak ada masalah kerana duit rizab kita ada RM400 bilion, hutang kita RM685 bilion,” tambahnya.

Sehubungan itu jelasnya, disebabkan itulah ia menjadi kemusykilan kepada masyarakat antarabangsa sehingga mereka turut hairan mengapa kerajaan Malaysia sekarang ini memburukkan diri sendiri.

“Inilah yang telah berlaku. Kerana apa, kerana mahu melihat saham-saham dalam negara kita jatuh merudum maka ramailah nanti yang datang ‘memfaraidkan’ saham-saham termasuklah saham yang ditanggung oleh Tabung Haji.

“Saham TH Plantations sebelum pilihan raya (umum) diniagakan di pasaran saham Kuala Lumpur RM1.68, tetapi bila pasaran saham jatuh merudum 40 peratus, TH Plantations dah tinggal 52 sen,” ujarnya lagi.

Begitu juga dengan harga komoditi asas seperti kelapa sawit sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, April 2018, CPO (Minyak Sawit Mentah) didagangkan RM2,850 satu tan tetapi pada Oktober, ianya turun menjadi RM1,700 ke RM1,800 satu tan.

“Bayangkan sekarang harga kelapa sawit boleh jadi RM200 ke RM300 setan sahaja. Harga getah teruk dan macam-macam lagi,” katanya.

Kesannya, rakyat terpaksa menanggung keperitan disebabkan negara mempunyai sebuah kerajaan yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu berbuat apa-apa, bidasnya lagi.

“Saya tidak nampak langsung usaha mereka membantu rakyat, dalam belanjawan yang dibentang untuk tahun ini, 2019 langsung tidak ada disebut peruntukan untuk penduduk luar bandar.

“Yang dia (kerajaan PH) risau adalah harga rumah yang telah terbina tetapi tidak boleh jual sehinggakan berpakat dengan syarikat insurans supaya rumah-rumah ini dibeli syarikat insurans ditanggung jamin oleh kerajaan kerana nak menolong dia punya ‘kuncu-kuncu’,” sinisnya.

Justeru Mohamad merayu kepada pengundi di kawasan Parlimen Cameron Highlands agar mengundi calon BN sebagai satu referendum kepada kerajaan PH.

“InsyaAllah jika di Cameron Highlands ini kita menang, ini merupakan referendum terjemahan ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Terjemahan ketidakupayaan kerajaan… supaya kita beritahu mereka jangan lagi menipu kami rakyat Malaysia,” tegasnya. – Media UMNO

UMNO ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *